PBTSELANGOR

MBSA sedia tapak bazar Ramadan untuk kendera saji

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 8 APRIL: Bagi meningkatkan imej sebuah bandar raya maju dan moden, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan tapak bazar Ramadan khusus untuk penjaja kendera saji (food truck), bermula tahun ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Rashidi Ruslan berkata, pendekatan baharu itu dilaksanakan ekoran peningkataan permohonan dalam kalangan penjaja terbabit di kawasan pentadbiran MBSA.

Katanya, inisiatif itu juga bagi memberi peluang kepada pengusaha kendera saji menjalankan perniagaan, pada bulan Ramadan.

“Tapak kendera saji Ramadan yang disediakan hanya di tapak parkir restoran Zam-Zam Seksyen 9, Shah Alam supaya kita dapat mengawal kebersihan dan memudahkan pemantauan.

“Berdasarkan kesesuaian di atas tapak, kita meluluskan 20 petak dan tawaran permohonan masih dibuka sehingga penuh, jadi siapa cepat dia dapat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan iLesen sempena Majlis Perasmian Taklimat Bazar Ramadan, di Auditorium MBSA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pelesenan MBSA, Rosli Bakar dan Pengarah Urusan Unilever Food Solutions (UFS), Nusrat Perveen.

Bagaimanapun, Rashidi berkata, pengusaha kendera saji tidak terkecuali daripada peraturan dan syarat bazar Ramadan ditetapkan.

“Food truck ini menjadi satu kelainan buat pengunjung kerana akan dibuka sehingga 10 malam dan bukan sahaja dibuka sehingga waktu berbuka puasa.

“Pengunjung yang tidak berkesempatan untuk pulang boleh menikmati juadah dijual pengusaha di gerai ini,” katanya.


Pengarang :