SELANGOR

MBSA tutup 26 premis makanan kotor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 APR: Gagal memastikan tahap kebersihan berada dalam keadaan baik memaksa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup 26 premis makanan sepanjang tempoh tiga bulan, pada tahun ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, dalam tempoh sama, 117 kompaun dan 88 notis serta 169 kerusi juga 55 meja turut disita membabitkan pemeriksaan ke atas 60 premis di sekitar kawasan pentadbiran terbabit.

“Pada 28 Mac lalu, Operasi Pemeriksaan Kebersihan Premis Makanan diadakan di sekitar Seksyen 23, Shah Alam dan 12 premis diperiksa serta tiga premis ditutup selain 15 kompaun juga notis dikeluarkan.

“Premis yang ditutup berdasarkan kepada Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MBSA 2007,” katanya.

Shahrin berkata, hasil pemeriksaan, pemilik premis masih lagi mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing khususnya daripada aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan, penggunaan peralatan kurang bersih, kebersihan tandas kurang memuaskan serta pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid).

“Kita berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan dan mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan TY2, menghadiri kursus pengendalian makanan juga mendaftar untuk memiliki kada pengendalian makanan dikeluarkan MBSA,” katanya.


Pengarang :