BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MDHS terima dua pengiktirafan MLAA

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU SELANGOR, 7 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) berjaya meraih dua pengiktirafan oleh Malaysia Landscape Architect Award (MLAA), bagi kategori Inisiatif Hijau anjuran Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM).

MDHS dalam kenyataan berkata, antara anugerah diterima adalah Merit Award 2018 dan Honour Award yang akan diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, pada hujung bulan ini.

Katanya, kedua-dua anugerah berprestij tinggi itu mengiktiraf arkitek landskap, PBT, pemaju dan perunding dalam Malaysia mahupun luar negara.

“Oleh itu, MDHS komited menganjurkan program World Landscape Architecture Month (WLAM) yang kini sudah memasuki tahun keempat sejak 2016 bertujuan mengiktiraf seni bina landskap yang ada di dunia sama ada tapak awam atau kawasan individu.

“Sehingga kini, MDHS adalah PBT pertama menganjurkan sambutan WLAM di negara ini dan semoga ia menjadi contoh kepada PBT lain supaya turut bersama menganjurkan program ini di kawasan penatdbiran masing-masing,” katanya.

Program WLAM yang diadakan selama dua hari sejak semalam itu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Rotina Mohd Daik di Taman Awam Padang Jenjarum, Bukit Beruntung, di sini.

Turut hadir, Yang Dipertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin; Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Raja Muzaffar Raja Redzwa; Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsuid Hui dan Ahli Dewan Negeri Batang Kali, Harumaini Omar.

Bertemakan “Hulu Selangor ke Arah Bandar Rendah Karbon”, program itu seiring Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon MDHS.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya Langkah Alam WLAM, senamrobik bersama GO PLAY, menyusun jigsaw puzzle dan fun with AXIATA.

Selain itu, kejohanan sukan WLAM turut diadakan membabitkan pertandingan bola jaring, sepak takraw dan Penalty Shoot Out.

Pameran juga diadakan membabitkan Jabatan Landskap Negara, Lembaga Urus Air Selangor, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Perancang Bandar MDHS bagi mempromosi program berkaitan bandar rendah karbon.


Pengarang :