SELANGOR

MDKL komited kembalikan kegemilangan Pesta Morib

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berusaha menghidupkan kembali Pesta Morib demi mengembalikan kegemilangan pesta yang sinonim dalam kalangan pengunjung.

Yang Dipertuanya, Mohd Zain A Hamid berkata, inisiatif itu selaras dengan hasrat menjadikan daerah itu sebagai Tahun Melawat Kuala Langat menjelang 2021.

Katanya, impak penganjuran pesta berkenaan akan dinilai selepas acara terbabit diadakan bermula September tahun ini selama empat hari.

“Kalau berjaya dan mendapat sambutan ramai, kita bercadang menjadikannya sebagai acara tahunan kerana kita memerlukan masa yang panjang untuk membuat persiapan ke arah itu.

“Kita merasakan ini antara inisiatif Pesta Morib perlu diaktifkan kembali memandangkan suatu ketika dahulu ramai orang hanya mengenali Morib sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Sebagai langkah menarik lebih ramai pengunjung, Mohd Zain berkata, pihaknya sudah merancang beberapa program menarik bagi menghangatkan kemeriahan pesta itu nanti.

“Kita akan menyajikan beberapa acara misalnya Morib Fun Run, pertunjukan wau, pertandingan gusti lengan, Battle of The Band dan pelbagai lagi.

“Ada lagi perancangan program akan disusun bukan hanya diadakan di Pantai Morib, tetapi akan menggunakan seluruh pantai di daerah Kuala Langat seperti Pantai Cunang dan Kelanang.

“Kita mahu pecahkan supaya program ini memberi impak, namun masih mengekalkan penggunaan Pesta Morib,” katanya.


Pengarang :