SELANGOR

MDKS sita lori sampah haram

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KUALA SELANGOR, 29 APRIL: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menyita sebuah lori yang didapati membuang sampah secara haram, dalam sebuah operasi di Kampung Seri Sentosa dan Kampung Sri Aman, Ijok, baru-baru ini.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, operasi secara mengejut oleh Pihak Berkuasa Tempatan terbabit turut mendapati lori berkenaan pernah disita sebelum ini atas kesalahan sama.

“Saya dimaklumkan harga pembuangan sampah yang ditawarkan di sini adalah RM50 satu lori, jauh lebih murah jika dibandingkan dengan tapak pelupusan berlesen iaitu satu tan bersamaan RM55.

“Oleh itu, kebanyakan kontraktor yang terbabit memilih untuk menghantar sampah mereka ke tapak pelupusan haram,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan tapak pembuangan sampah haram, di sini.

Rahilah berkata, MDKS akan mengambil tindakan tegas bagi menangani isu sampah haram di kawasan pentadbirannya.

Tindakan sitaan itu dilakukan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDKS) 2007.

Kadar Kompaun yang dikenakan RM1,000, sementara kadar tebusan sebanyak RM1,000 dan kos simpanan di Depoh Kenderaan adalah RM50 sehari.

Untuk rekod, MDKS berjaya menyita tujuh lori sampah haram sehingga kini.


Pengarang :