PBTSELANGOR

‘Menu lipas’, lima premis makanan ditutup

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 APRIL: Tindakan membiarkan lipas berkeliaran di tempat simpanan bahan mentah dan peralatan dapur memaksa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menutup lima daripada lapan premis makanan, di Seksyen 13, di sini, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, premis terbabit ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ekoran tahap kebersihan berada pada tahap kurang memuaskan.

“Hasil pemeriksaan kami, pemilik premis makanan masih lagi mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing, khususnya daripada aspek penyediaan makanan dan penyimpanan makanan.

“Penggunaan peralatan juga kurang bersih selain kebersihan tandas kurang memuaskan, pekerja tidak mempunyai suntikan TY2 (anti-typhoid) dan sebagainya,” katanya.

Operasi itu membabitkan pelbagai jabatan dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan antaranya Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam, dan Jabatan Bangunan.

Pada masa sama, katanya, operasi seperti itu akan dijalankan secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan kesemua premis makanan di kawasan pentadbiran berkenaan sentiasa bersih dan mematuhi syarat ditetapkan.

“Kita berharap setiap premis makanan menjaga kebersihan dan mengamalkan pengendalian makanan yang betul serta memastikan pembantu kedai mendapat suntikan TY2.

“Pembantu kedai perlu menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendaftar untuk memiliki kad pengendalian makanan yang dikeluarkan MBSA,” katanya.

Shahrin berkata, sehingga semalam, sebanyak 31 premis diarah tutup, manakala 127 kompaun dikeluarkan membabitkan pemeriksaan di 68 premis makanan sekitar Shah Alam.

Katanya, notis dan kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil sedia ada seperti Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan & Perindustrian MBSA 2007, Undang-Undang Kecil Establishmen Makanan MBSA 2007 dan Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan MBSA 2007.


Pengarang :