SELANGOR

Mini Zoo tarikan di Karnival 3W

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 6 APRIL: Mini Zoo anjuran Bahagian Kawalan Alam Sekitar Petaling Jaya dengan kerjasama Bustana Kucing antara tarikan pengunjung sempena Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women), di Dataran Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Menampilkan dua konsep berlainan iaitu ‘Petting Zoo’ dan ‘Cat Show’, ia turut mempamerkan pelbagai spesies haiwan ternakan serta spesies terlindung, khusus buat pengunjung.

Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Mohd Zaim Mohd Nor berkata, selain berpeluang mendekati haiwan jinak di ‘Petting Zoo’, pengunjung juga boleh merasai pengalaman menyentuh haiwan berkenaan tanpa sebarang bayaran.

“Walaupun kucing eksotik mahal, kita turut beri peluang untuk menyentuh dan bergambar secara percuma.

“Anak-anak yang dibawa masuk ke sini akan dilepaskan di dalam satu kawasan sangkar yang terdapat binatang seperti itik, arnab, ayam dan sebagainya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, katanya, pertandingan mini pameran kucing turut diadakan di pentas karnival berkenaan sebagai menarik minat golongan kanak-kanak mahupun pencinta haiwan manja itu.

“Pertandingan kucing ada dua kategori iaitu bulu panjang dan bulu pendek dengan penyertaan 15 ekor bagi setiap kategori.

“Pameran kucing ada 15 ekor, manakala pakaian beragam ada 17 ekor kucing yang turut serta dalam pertandingan ini.

“Kucing akan diperhiaskan dengan pelbagai pakaian dan kostum menarik,” katanya

Sebanyak 35 haiwan pelbagai spesies selain sembilan spesies eksotik dipamerkan sepanjang sehari karnival 3W itu berlangsung.

Antara spesies berkenaan adalah Domestic short hair, Domestic long hair, Parsi, Mainecoon, Bengal, Sphynx, Abysinian,Exotic, British short hair dan American curl.

Terdahulu, Bustana Kucing adalah sebuah taman kucing yang bertangunggjawab menguruskan kucing gelandangan dan terbiar untuk dirawat pertubuhan terbabit.

Ditubuhkan sejak 2015, Bustana yang ketika ini dianggotai 348 ahli sedang memuktamadkan projek taman kucing pertama di dunia terletak di Perlis.


Pengarang :