NASIONAL

Minyak sawit Malaysia berpotensi besar cemerlang – Teresa

KUALA LUMPUR, 27 APR: Minyak sawit Malaysia masih mempunyai banyak potensi untuk cemerlang berbanding pesaingnya seperti minyak kacang soya, sesawi, zaitun dan bunga matahari, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Bagaimanapun, katanya peserta industri besar dan kecil perlu memastikan minyak sawit Malaysia lebih baik daripada minyak makan yang lain.

“Kita perlu mematuhi semua peraturan termasuk mendapatkan pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) bagi ladang kita.

“Sehingga 31 Mac, kira-kira 28 peratus daripada ladang kita diperakui MSPO. Kami mahu memastikan menjelang tahun depan, semua pengeksport minyak sawit terutamanya ke Kesatuan Eropah (EU) diperakui. Ini matlamat kami,” katanya pada taklimat bersama media sempena sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Teresa berkata kempen Sayangi Sawit dengan slogan ‘Produk Malaysia Lima Bintang’ yang dilancarkan baru-baru ini, menggesa peserta industri untuk meneliti semula cara mereka mengendalikan ladang mereka.

“Dengan menguruskan ladang dengan baik, secara automatik kita akan dapat menangani semua dakwaan terhadap industri ini, termasuk penebangan hutan, membunuh hidupan liar dan kehilangan biodiversiti.

“Itu sebabnya saya pergi ke Sabah. Saya mahu memberi inspirasi kepada semua kerajaan negeri dan peserta industri minyak sawit untuk menanam semula satu juta pokok hutan di seluruh negara.

“Saya turut menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membincangkan tentang bagaimana kita dapat menghubungkan kembali seluruh koridor hidupan liar supaya ladang kelapa sawit dapat bersama hidupan liar kita. Beri kembali hutan kepada hidupan liar,” katanya.

Sementara itu, mengenai resolusi EU dan cadangannya untuk melarang minyak sawit ke Eropah, menteri itu mengakui bahawa ia akan menjadi ‘perjuangan jangka panjang’.

Beliau berkata walaupun berdekad menangani isu ini, lebih banyak penglibatan diperlukan antara Malaysia dan pemimpin politik EU.

“Kita masih perlu melobi dan berkempen untuk minyak sawit. Mengetahui pada Mei akan terdapat pilihan raya Parlimen Eropah dan perubahan iklim, semua ini menjadi kepentingan politik untuk semua calon yang bertanding dalam pilihan raya itu.

“Oleh itu, ia mungkin amat sukar bagi kami untuk meminta mereka menangguhkan peraturan perwakilan itu, tetapi peraturan tersebut akan dikaji semula pada Jun 2021,” katanya.

Ditanya mengenai potensi kehilangan hasil daripada kehilangan eksport ke blok perdagangan itu disebabkan larangan tersebut, menteri itu berkata tiada angka yang tepat pada peringkat ini berikutan ia masih mengimport minyak sawit Malaysia.

“Mereka akan menghentikan secara berperingkat jumlah import menjelang 2030,” katanya.

Data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan tahun lepas, negara mengeksport sejumlah 1.91 juta tan minyak sawit ke EU, susut empat peratus berbanding 1.99 juta tan dicatatkan pada 2017 dan menyumbang 12 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.

EU merupakan pembeli minyak sawit Malaysia kedua terbesar, selepas India.

Sementara itu, China merupakan pengguna ketiga diikuti Pakistan, Filipina, Turki dan AS. Tujuh negara utama ini menyumbang 9.31 juta tan atau 56.5 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia pada 2018.


Pengarang :