NASIONAL

MOA tekad keluarkan petani, nelayan daripada garis kemiskinan

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 3 APR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tekad berjuang untuk mengeluarkan golongan petani dan nelayan daripada garisan kemiskinan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, hal ini kerana golongan terbabit adalah benteng pertahanan makanan negara yang sangat penting bagi menjamin ketenteraman, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

“Cuba bayangkan tiga hari tiada bekalan beras, negara akan huru hara, gedung perniagaan akan dipecahkan kerana orang ramai berebut nak dapatkan bekalan makanan.

“Saya letak hala tuju untuk kementerian berjuang mengeluarkan petani kita keluar daripada garis kemiskinan.

“Selagi mereka miskin kita tidak akan berjaya, selagi mereka miskin negara akan menghadapi masalah dan kita akan berusaha sekuat mungkin meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Kebangsaan di Pusat Pertanian Sungai Burong di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri EXCO Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.

Katanya, golongan petani, pesawah dan nelayan adalah elemen penting dalam negara seperti mana anggota keselamatan seperti polis dan tentera.

Salahuddin berkata, tindakan segelintir pihak mengambil kesempatan ke atas golongan ini adalah mereka tidak bertanggung jawab.


Pengarang :