NASIONAL

Motosikal berkuasa tinggi tingkat kecekapan PDRM cegah jenayah

PETALING JAYA, 22 APR: Penggunaan motosikal khususnya berkuasa tinggi dapat meningkatkan kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan serta membanteras jenayah.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penugasan menggunakan motosikal memudahkan anggota selain ia lebih mesra dengan masyarakat.

“Aset motosikal banyak membantu meningkatkan kecekapan PDRM dalam banteras jenayah serta menguatkuasakan undang-undang.

“Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd telah lama bekerjasama dengan PDRM untuk membekalkan motosikal yang digunakan oleh pelbagai jabatan,” katanya ketika berucap melancarkan model baharu Kawasaki Z250 ABS dan Kawasaki Z400 SE ABS di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya.

Muhyiddin berkata, PDRM serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut menggunakan pendekatan cegah jenayah serta membanteras penyalahgunaan dadah melalui konvoi motosikal berkuasa tinggi.

“Penggunaan motosikal berkuasa tinggi di kalangan rakyat Malaysia semakin menggalakkan dan banyak aktiviti seperti kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan.

“Ini satu usaha sihat dan agensi di bawah KDN juga tidak terkecuali melaksanakan konvoi untuk menyampaikan maklumat,” katanya.

Muhyiddin berkata, seiring dengan peningkatan jumlah kenderaan, PDRM perlu melaksanakan pendekatan baharu untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin serta jenayah trafik dapat dibendung.

Pada majlis itu, Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan model baharu bagi kategori Z iaitu Z250 ABS dengan harga RM21,998 dan Z400 SE ABS dengan harga RM28,755.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :