SELANGOR

MPK rangkul Anugerah Presiden ILAM

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) berjaya menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama memenangi Anugerah Presiden daripada Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM), dalam senarai Anugerah Malaysia Landscape Architecture Award (MLAA) 11, pada 20 April lalu.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohd Yasid Bidin berkata, menggunakan QR Tree System, Braille Tree System dan Green Strata sebagai tiga program inovasi dalam seni bina landskap, usaha itu melayakkan PBT terbabit menerima anugerah berkenaan.

Katanya, gabungan tiga program inovasi itu memberi faedah dalam bentuk pembelajaran dan pengetahuan bukan sahaja kepada manusia biasa, tetapi mereka yang mengalami masalah daya penglihatan.

“Jika sebelum ini keindahan landskap hanya tertumpu kepada mereka yang celik, namun kali ini kita mencipta atau inovasi beberapa program yang turut memberi manfaat kepada golongan tiada daya penglihatan.

“Tahniah juga kepada Jabatan Taman dan Rekreasi dan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) di atas kejayaan mencipta inovasi itu, sekali gus berjaya mendapat anugerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK Bil 4/2019 di Dewan Mesyuarat Raja Mahadi, di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, MLAA adalah anugerah berprestij daripada ILAM yang diiktiraf International Federation of Landscape Architects (IFLA) yang berpengkalan di Brussels, Belgium.

Mohd Yasid berkata, MLAA bertujuan memberi penghargaan dan sumbangan kepada penggiat seni bina landskap dalam memartabatkan landskap di Malaysia dan luar negara.

Anugerah Presiden ILAM diterima MPK adalah anugerah kedua tertinggi dalam senarai MLAA 11 dan MPK adalah PBT pertama menerimanya.

MLAA 11 adalah penyertaan kali kedua Jabatan Taman dan Rekreasi MPK dengan tahun lalu mereka berjaya menerima Anugerah Kepujian Inisiatif Hijau (Kategori Kerajaan).


Pengarang :