PBTSELANGOR

MPK tolak 26 permohonan peniaga Bazar Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menolak 26 permohonan peniaga Bazar Ramadan Jalan Taiping ekoran tidak mematuhi peraturan ditetapkan, tahun lalu.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK bertegas mengenakan tindakan menyenaraihitamkan kesemua peniaga itu selama dua tahun.

Katanya, ia bertujuan untuk mendidik peniaga supaya lebih berdisiplin dan mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan terbabit.

“Banyak isu dibangkitkan yang rata-ratanya ada antara mereka berniaga tanpa lesen, memberi sewa kepada warga asing, vandalisme, isu kebersihan dan tidak menitikberatkan soal keselamatan.

“Saya menegaskan bahawa MPK tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana peniaga yang melanggar undang-undang dan syarat yang sudah kita tetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Taklimat Bazar Ramadan Jalan Taiping 2019, di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, beliau menggesa peniaga utnuk mematuhi undang-undang dan syarat perlesenan sekali gus menjadi peniaga yang berdisiplin, beretika dan berintegriti.

Terdahulu, MPK menyediakan 550 petak niaga Bazar Ramadan dan meluluskan 517 iaitu sebanyak 191 permohonan daripada bidaan, undian terbuka (137), petak Jambatan Kota (24), petak laluan untuk Tenaga Nasional Berhad, Bomba (16) dan pekedai (149).

Pada program itu, buat julung kalinya MPK melaksanakan lafaz Ikrar Integriti peniaga yang hadir bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Pengarang :