PBTSELANGOR

MPKj sambut baik inisiatif Kerajaan Negeri tawar rumah

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 6 APRIL: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri menawarkan rumah Idaman kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Yang Dipertuanya, Dato’ Rosli Othman berkata, inisiatif itu antara sagu hati istimewa buat PBT terbabit, apabila projek pertama Idaman dilancarkan di kawasan pentadbiran MPKj.

Katanya, penawaran rumah Idaman itu sebagai peluang terbaik kepada sebahagian kakitangan awamnya yang belum memiliki rumah.

“Kita akan pertimbangkan untuk penjawat awam MPKj berkelayakan memiliki sebahagian unit Idaman ini.

“Jika layak, kita akan mendaftarkan penjawat awam MPKj ini bagi mendapatkan unit Idaman, namun bergantung kepada kemahuan mereka juga,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah projek Idaman Abadi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, di Bandar Teknologi Kajang, di sini.

Turut hadir, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Raja Shahreen Raja Othman.

Pada masa sama, Rosli berkata, pembinaan rumah itu bakal memberi manfaar kepada seluruh rakyat Selangor khususnya.

“Saya mengalu-alukan Kerajaan Negeri untuk membina lebih banyak rumah seperti itu di dalam kawasan ini,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan penawaran 60 unit rumah Idaman kepada kakitangan MPKj.


Pengarang :