SELANGOR

MPS serbu dua premis hiburan operasi tanpa lesen

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Dua premis hiburan diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana beroperasi tanpa lesen sah, dalam satu operasi bersepadu, malam tadi.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Dr Juhari Ahmad berkata, pihaknya juga menyita pelbagai barangan premis seperti kerusi, meja dan peralatan audio.

“Beberapa sofa, puluhan meja dan kerusi, beberapa peralatan audio seperti monitor dan televisyen merupakan antara peralatan-peralatan biasa yang digunakan dalam premis-premis ini untuk digunakan bagi aktiviti hiburan.

“Selain itu, kita mendapati, satu daripada premis yang diserbu turut memperagakan model-model wanita (di atas pentas). Saya percaya mereka terdiri daripada warga asing. Namun, ia di luar bidang kuasa kita dan tindakan hanya diambil berdasarkan akta di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat MPS, di sini, malam tadi.

Katanya, dua premis berkenaan telah beroperasi sejak lapan tahun lalu dan pernah diserbu pihaknya beberapa kali, namun premis berkenaan masih berdegil dan meneruskan perniagaan mereka selepas diserbu pihak berkuasa.

Juhari berkata, premis-premis yang diserbu pernah mempunyai lesen (perniagaan) namun dibatalkan kerana melanggar syarat-syarat lesen perniagaan seperti menggaji pekerja asing asing tanpa permit yang sah.

“Apabila terlalu kerap melanggar syarat-syarat lesen perniagaan, tindakan terakhir adalah membuat serbuan dan menyita barang-barang perniagaan,” katanya.

Dua premis berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM 25,000 dibawah Sek. 6(1), Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995 (Mengadakan Tempat Hiburan Tanpa Lesen). -BERNAMA

 


Pengarang :