PBTSELANGOR

MPSepang sedia 717 tapak bazar Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

CYBERJAYA, 8 APRIL: Sebanyak 717 tapak bazar Ramadan akan dibuka di 13 lokasi di sekitar daerah Sepang, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd Fauzi Yatim.

Katanya, antara lokasi terpilih adalah Cyberjaya, Desa Pinggiran Putra, Taman Mas, Sungai Merab, Taman Ambar, Dengkil Jaya, Sungai Pelek, Sepang Putra, Kipmall Kota Warisan, Taman Putra Perdana, Kosmopleks dan Salak.

“Sambutan amat memberangsangkan dan kini kita sedang dalam proses mengadakan sesi temuduga kepada peniaga yang memohon berniaga di tapak bazar Ramadan itu.

“Bagaimanapun, kita berharap setiap peniaga mengambil serius isu kebersihan dan dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan typhoid selain menjaga kebersihan makanan bagi mengelakkan masalah kepada orang ramai,” katanya kepada Media Selangor.

Katanya, permohonan tapak bazar Ramadan itu sudah ditutup pada penghujung Mac lalu dan ia hanya terbuka kepada warganegara serta penduduk tempatan secara ‘first come, first serve’.

Pada masa sama, Mohd Fauzi berkata menyarankan kepada setiap peniaga terpilih untuk lebih kreatif dan menampilkan imej bersih dalam mempromosi produk masing-masing, sekali gus meningkatkan imej serta persaingan sihat dalam kalangan peniaga.

“Perkara ini penting kerana ia menjadi sebagai penanda aras dalam memilih calon peniaga terbaik dan mereka yang dipilih akan diraikan pada setiap majlis rasmi anjuran MPSepang,” katanya.


Pengarang :