PBTSELANGOR

MPSJ ajak peniaga sumbang idea perindah lorong belakang

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA, 10 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan taklimat khusus untuk mendapatkan persetujuan bersama pemilik perniagaan bagi memperindah Jalan PJS 11/28A dan 11/28B menerusi lukisan mural supaya lorong terlibat berada dalam keadaan selamat.

Takilmat Program Perjumpaan Awam Perbandaran Pengindahan Lorong Belakang Dan Lukisan Mural di Kawasan Sunway Metro yang berlangsung di The One Academy itu disampaikan Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abd Rashid turut menyentuh isu berbangkit bagi mencari penyelesaian masalah penggunaan lorong belakang.

Azfarizal berkata, cadangan pengindahan lorong ini dengan kolaborasi bersama pihak Sunway pernah dilaksanakan di kawasan pentadbiran MPSJ menerusi Projek Rejuvenasi di Jalan Kenari, Puchong dan Kawasan Komersil Bandar Puteri.

“Kita mahu lorong ini bersih dan selamat untuk digunakan.

“Kalau boleh, kita mahu kawasan ini menjadi tarikan pelancong yang menginap di sekitar Sunway Metro sebagai sebuah tempat yang perlu dilawati jika berada di sini,” katanya.

Program perintis ini adalah salah satu program di bawah Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 (Pindaan 1/2013) melalui teras strategik kelima iaitu Pembentukan Masyarakat Madani.

Fasa pertama pembangunan lorong ini dimulakan sejak pertengahan 2017 menerusi pelaksanaan penguatkuasaan terhadap penyambungan tambahan haram.

Ia diikuiti dengan pemasangan ‘interlocking paver’ dan tiang halangan (bollard) berkunci selain menurap semula jalan kawasan sekitar.

Sebelum ini, lorong belakang premis dijadikan tempat meletak kereta pengunjung di Sunway Metro selain aktiviti pemunggahan barangan perniagaan.

Antara cadangan konsep mural yang dipamerkan cetusan idea pelajar institut pengajian tinggi swasta (IPTS), The One Academy adalah permainan digital, lukisan tiga dimensi (3D), Zoo di Sunway Lagoon dan pelancongan.

Dalam taklimat sama, pemilik premis turut mencadangkan supaya lorong belakang dijadikan tempat meletak motosikal dan basikal selain dijadikan tempat perniagaan barangan terpakai.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze yang turut hadir dalam sesi perjumpaan awam ini menyarankan peniaga memikirkan idea untuk memanfaatkan lorong belakang premis perniagaan.

“Saya menyeru ini peluang sangat bagus. Sebagai ahli perniagaan, anda sepatutnya memikirkan peluang perniagaan yang boleh dibuat di lorong belakang,” katanya.

 

 


Pengarang :