SELANGOR

MPSJ sedia pelan tindakan atasi banjir

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 4 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyediakan pelan tindakan segera dan jangka panjang sebagai usaha menangani bencana banjir yang berlaku di Taman Serdang Jaya Seri Kembangan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategiknya, Azfarizal Abd Rashid berkata, pihaknya memberi bantuan segera melalui pasukan PANTAS MPSJ kepada mangsa terbabit dengan melaksanakan pemantauan lokasi banjir di kawasan berkenaan.

“Kerja pemotongan dan pengalihan pokok tumbang dijalankan selain membantu mengedarkan bekalan makanan kepada mangsa.

“Kita juga menjalankan kerja pembersihan kawasan sekolah dan longkang di kawasan perumahan bagi melancarkan sistem saliran di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Serdang, Gobind Singh Deo meninjau keadaan di tapak bagi membincangkan punca bencana dan cadangan penyelesaian mengatasi masalah terbabit.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan, bagi menbincangkan serta membincangkan permasalahan bagi mengatasi banjir daripada berulang.

Azfarizal berkata, pemantauan itu mendapati taburan hujan yang tinggi iaitu sebanyak 156 mm (dikategorikan sangat lebat melebihi 60mm) menjadi punca berlaku kejadian terbabit.

Malah katanya, sistem saliran di kawasan perumahan di Taman Serdang Jaya dan kawasan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Serdang Baru 2 mengalami aliran ‘backflow’ berikutan aras Sungai Kuyoh tinggi selain berada pada tahap amaran.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mendalamkan Sungai Kuyou dan cadangan kerja berkenaan sudah dimasukkan dalam perancangan agensi berkenaan,” katanya.

 


Pengarang :