NASIONAL

Muhyiddin: Barisan EXCO Johor bakal diumum esok

ISKANDAR PUTERI, 21 APRIL: Barisan EXCO Johor baharu dijangka diumum esok, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, senarai itu sudah dikemukakan dan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dalam pertemuan di Istana Pasir Pelangi, pagi tadi.

“Menteri Besar (Dr Sahruddin Jamal) sudah sampaikan senarai barisan EXCO yang dijangka dilantik semula esok, sudah diperkenankan dan saya bersyukur kerana setelah terbentuknya barisan EXCO, maka pentadbiran negeri akan berjalan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan Dr Sahruddin di pejabat menteri besar di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Dr Sahruddin yang juga Setiausaha Bersatu Johor dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-17 pada Ahad lalu, menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan selepas hanya 11 bulan menerajui kerajaan negeri.

Dilaporkan susulan pelantikan Dr Sahruddin, akan berlaku rombakan Exco Johor dengan beberapa nama dijangka digugurkan.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri meluangkan masa kira-kira sejam bertemu Dr Sahruddin di pejabatnya.

Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh bersama-sama Dr Sahruddin sebelum itu dilaporkan menghadap Sultan Ibrahim bagi mempersembahkan senarai barisan Exco Johor yang baharu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau yakin Dr Sahruddin berkemampuan menerajui kerajaan negeri dengan baik meskipun masih baru dalam kerajaan negeri.

Ditanya mengenai kedudukan Osman sebagai pemangku Pengerusi PH Johor, Muhyiddin berkata perkara tersebut akan diteliti semula oleh pucuk pimpinan tertinggi PH. –BERNAMA


Pengarang :