BERITA UTAMANASIONAL

Muhyiddin: BERSATU sudah ada calon MB Johor

PETALING JAYA, 11 APRIL: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempunyai beberapa nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bagi diangkat sebagai menteri besar negeri itu.

“Mungkin dua atau tiga calon,” kata presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemberita ketika ditanya berkenaan calon Menteri Besar Johor selepas Datuk Osman Sapian melepaskan jawatannya, pada Isnin lalu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, ditemui selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Stesen Udara Maritim Subang, dekat sini hari ini.

Ditanya berkenaan perbahasan berhubung kuasa memilih menteri besar, Muhyiddin berkata, isu itu tidak sepatutnya dibahaskan kerana setiap negeri termasuk Johor mempunyai undang-undang tubuh negeri yang turut memperuntukkan pelantikan menteri besar.

“(Peruntukan) Ini bukan baharu kerana ia sudah berzaman dikuatkuasakan,” katanya.

Berhubung cadangan UMNO Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan, katanya, perkara itu tidak timbul kerana sebarang cadangan membubarkan DUN harus dibuat kerajaan, bukan pembangkang.

Ditanya cadangan beliau kembali menerajui kerajaan Johor, Muhyiddin yang juga ADUN Gambir, berseloroh: “Saya sudah tua.”

Bagaimanapun katanya beliau bersedia membantu pentadbiran kerajaan negeri dan berkongsi pengalamannya sewaktu menjadi Menteri Besar Johor.

“Saya dah pernah jadi menteri mesar, saya fikir tidak wajar saya kembali semula memegang jawatan itu tapi saya sedia membantu,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :