NASIONAL

Muhyiddin: Nama calon KPN baharu sudah diserah kepada PM

MUAR, 26 APRIL: Nama calon Ketua Polis Negara yang baharu sudah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad beberapa minggu lalu, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, nama yang ada akan diteliti oleh perdana menteri sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah nama yang dikemukakan itu.

“Tidak penting berapa nama. Yang mustahak saya sudah bawa (kemukakan nama).

“Kalau dia (Dr Mahathir) hendak apa-apa perubahan, itu hak perdana menteri sebelum dia menghantarnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Selepas perkenan, barulah perubahan akan dilakukan dan pengganti ditentukan,” katanya ditanya mengenai calon Ketua Polis Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dijadual bersara wajib bulan depan.

Muhyiddin ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Tahun ke-47 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat negeri Johor di Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Pengarah Rela, Zulkifli Abidin.

Sebelum itu, Muhyiddin menyerahkan sebuah Proton Persona dan empat Proton Saga kepada Rela negeri Johor sebagai membantu mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap serta berkesan.

Katanya penyerahan itu merupakan sebahagian daripada 109 buah kenderaan yang akan diberikan kepada setiap Rela negeri secara peringkat, tahun ini.

Selain itu, bagi menghargai jasa anggota-anggota Rela, Muhyiddin turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Rela (PPR) kepada dua orang penerima iaitu Penolong Pegawai Rela Daerah Kota Tinggi, Mohd Zain Abd Razak dan Pembantu Tadbir (Pengkeranian/Operasi) Rela Muar, Noor Aishah Idris.

-BERNAMA


Pengarang :