SUKANKINI

Naik taraf fasiliti sukan, fokus bina padang rakyat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PAYA JARAS, 14 APR: Usaha menaik taraf fasiliti sukan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor akan menjadi fokus kepada mewujudkan dan membaik pulih padang rakyat atau futsal, kata Mohd Khairuddin Othman.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Jumaat lalu bersetuju supaya semua Ahli Dewan Negeri (ADN) memberi fokus kepada pembangunan kemudahan sukan di kawasan masing-masing.

“Fokus saya pada tahun ini adalah menaik taraf semua padang bola dan futsal. Padang bola dimaksudkan adalah padang rakyat terbuka, untuk belia kita guna tanpa perlu minta izin seperti stadium.

“Bagi usaha itu, tidak hanya guna duit ADN, Kerajaan Negeri akan menampung RM40,000 setiap DUN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sukan Luar Bandar Edisi Selangor 2019 di Stadium Mini MBSA Paya Jaras, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Khairuddin yang juga ADN Paya Jaras berkata, pihaknya menyasarkan membangunkan lima buah padang dalam penggal ini, iaitu satu padang setiap tahun.

Katanya, mengenai kualiti padang, pihaknya akan berbincang dengan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) dan akan memastikan padang dibina mudah diselia dalam jangka masa panjang.

Program Sukan Luar Bandar adalah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Kerajaan Negeri bertujuan meluaskan akses kemudahan sukan kepada rakyat di kawasan pedalaman serta masyarakat luar bandar.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :