SELANGOR

‘Name & shame’ agensi kerajaan ambil ringan kes denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Tindakan menghebah nama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan kepada umum akan dilaksanakan, jika persekitaran pejabat mereka dikesan menjadi tempat pembiakan Aedes.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu bagi memastikan penjawat awam serius menangani kes denggi ekoran statistik wabak berkenaan yang semakin tinggi, di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun terhadap jabatan dan agensi kerajaan yang didapati membiak jentik-jentik.

“Kepada jabatan atau agensi yang tidak melaksanakan sebarang aktiviti bagi memastikan kawasan mereka bebas Aedes, kita tidak akan teragak-agak untuk ‘name and shame’ pejabat mereka.

“Sudah pasti semua tidak mahu perkara itu berlaku. Kes denggi akan dapat dikurangkan jika masing-masing mengambil serius isu ini,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Taklimat Pelaksanaan Selangor Bebas Aedes (Tempat Kerja dan Kuarters) Jabatan dan Agensi, di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini.

Berdasarkan rekod Jabatan Kesihatan Selangor tahun lalu, tempat utama positif pembiakan Aedes mengikut jenis premis adalah rumah ibadah (42.9 peratus), tapak binaan (47.2%), pejabat kerajaan (18.8%), kilang (17.4%), kemudahan kesihatan (12.4%) dan sekolah (12.1%).

 


Pengarang :