BERITA UTAMASELANGOR

Nasib penghuni flat retak diketahui tiga hari lagi – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 27 APRIL: Nasib 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai yang terkesan susulan keretakan di bangunan terbabit akan diketahui dalam tempoh tiga hari bermula hari ini selepas siasatan terperinci dijalankan agensi berkaitan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian mendalam itu akan dijalankan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum pengesanan awal dibuat.

Katanya, pihak terbabit juga menjalankan pemeriksaan berterusan sepanjang tempoh itu untuk mengenal pasti punca dan kerosakan struktur bangunan itu selain mengesan pergerakan tanah yang masih aktif.

“Merujuk kepada rekod Geologi oleh Jabatan Mineral, kawasan pangsapuri ini didasari batuan filik yang boleh dikategorikan sebagai baik daripada aspek tujuan letakan pedasaran batuan bangunan.

“Namun, ia bergantung kepada kualiti jasad batuan yang berada dalam lingkungan bawah permukaan tanah.

“Daripada kajian awal yang boleh dibuat, sekiranya pada hari ketiga IKRAM membuat pengesahan ada pergerakan tanah dan keretakan itu boleh membawa kepada masalah runtuhan bangunan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyatakan persetujuan untuk membaik pulih tanah dan bangunan berkenaan.

“Bagaimanapun, kita memerlukan sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan untuk memulihkan berdasarkan pengalaman lepas, namun kita perlu mendapatkan cerapan dan konklusi awal daripada kajian ini,” katanya.

Beliau menjelaskan perkembangan itu kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kawasan keretakan struktur bangunan terbabit, di Taman Keramat Permai, Jalan AU1/1B, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain dan beberapa wakil MPAJ.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sementara ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, segala keperluan makan dan minuman akan ditanggung sepenuhnya Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga satu keputusan baharu dibuat.

Katanya, penduduk juga disaran menetap di pusat pemindahan terbabit selama tiga hari sebelum keputusan awal daripada cerapan dan kajian dijalankan IKRAM.

“Buat masa kini, 37 keluarga semua sudah keluar, namun yang menghuni atau yang menginap di pusat pemindahan hanya sejumlah 12 keluarga iaitu 54 mangsa.

“Manakala, selebihnya memilih untuk tinggal bersama saudara dan sahabat terdekat mereka dan ada yang memilih untuk tinggal di pusat pemindahan sementara,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian 12.42 tengah hari semalam, Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima aduan daripada penduduk berhubung keretakan itu.


Pengarang :