KUALA LUMPUR, 20 April — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bergambar bersama ahli-ahli Kelab Pencinta Alam selepas merasmikan Sambutan Hari Bumi di Taman Tugu hari ini. Turut kelihatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Negara maju: Imbangi pembangunan fizikal, alam sekitar

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Malaysia tidak akan berjaya sebagai negara maju jika gagal mengimbangi pembangunan fizikal dengan pemeliharaan alam semula jadi dan mengekalkan persekitaran sedia ada.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, memelihara alam dan persekitaran semula jadi untuk generasi hari ini dan akan datang adalah tanggungjawab persendirian serta kolektif, dan perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Kita sudah melihat kesan daripada pembangunan tidak teratur dan hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata.

“Perlu kita sedari, usaha untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika apa yang boleh kita perlihatkan adalah bangunan pencakar langit tetapi sungai tercemar, hutan belantara hanya tinggal tanah tandus dan udara dihirup teruk tercemar,” katanya berucap pada sambutan Hari Bumi di Taman Tugu, di sini, hari ini.

Beliau diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas sambutan Hari Bumi atau dikenali Earth Day yang disambut pada 22 April setiap tahun, Dr Mahathir berkata, kesedaran dalam menjaga alam sekitar perlu diterapkan dan dikongsi semua lapisan masyarakat.

Katanya, sambutan Hari Bumi yang diadakan di Taman Tugu, sebuah taman rimba seluas 26.7 hektar di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur juga simbolik yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan fizikal seimbang dengan pembangunan alam sekitar.

“Taman Tugu ini wujud sebagai bukti kepada komitmen kita untuk memastikan pembangunan seimbang iaitu pembangunan fizikal yang beriringan dengan pemeliharaan alam sekitar.

“Saya difahamkan kira-kira 4,000 batang pokok hutan hujan asli Malaysia ditanam di sekitar Taman Tugu ini.

“Ini adalah tambahan kepada kira-kira 1,000 batang pokok asal di sini yang terpelihara. Kerana itu pemilihan tapak Taman Tugu untuk sambutan Hari Bumi pada tahun ini cukup bermakna dan amat simbolik,” katanya.

Projek Taman Tugu juga bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pencinta alam menerusi program pendidikan awam yang dijalankan khususnya pada hujung minggu, katanya.

“Saya turut diberitahu bahawa sejak dibuka kepada orang ramai pada bulan Ogos 2018, Taman Tugu telah berjaya menarik kira-kira 30,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara.

KUALA LUMPUR, 20 April — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyiram pokok sebagai tanda perasmian Sambutan Hari Bumi di Taman Tugu hari ini.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Pastinya, jika setiap pengunjung yang datang ke Taman Tugu dapat membawa balik mesej yang sama kepada ahli keluarga dan rakan taulan masing-masing mengenai pentingnya memelihara alam sekitar dan mempertahankan kawasan hijau, saya percaya peningkatan kesedaran itu akan akhirnya menjadi sesuatu yang spontan dan tidak lagi perlu kepada sebarang kempen dan peringatan,” kata Dr Mahathir.

Antara program yang diadakan bersempena sambutan Hari Bumi termasuk jelajah rimba berpandu, bengkel berbasikal, zumba, dan persembahan artis terkenal Zainal Abidin.

Projek Taman Tugu adalah inisiatif tanggung jawab sosial korporat Khazanah Nasional Berhad dengan sokongan beberapa kementerian dan agensi kerajaan, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan.

Setakat ini kira-kira 16.18 hektar daripada keseluruhan 26.7 hektar termasuk denai rimba sepanjang 4 kilometer dibuka kepada orang ramai secara percuma setiap hari, bermula 7 pagi sehingga 6.30 petang.

Baki kawasan 10.52 hektar lagi, ia akan dibangunkan dengan tapak perkhemahan, ruang acara, surau Jumaat dan kuil Hindu yang akan dibuka secara berperingkat bermula tahun ini hingga awal tahun depan.

Tapak Taman Tugu ini akan diserahkan kepada Amanah Warisan Negara (AWAN) untuk diurus dan dilindungi sebagai kawasan hijau awam. -BERNAMA


Pengarang :