NASIONAL

Negara perlu 38,333 taska tampung kanak-kanak – Hannah

KUALA LUMPUR, 30 APR: Negara memerlukan 38,333 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) bagi menampung jumlah kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata berdasarkan bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010, menganggarkan jumlah kanak-kanak berusia sehingga empat tahun pada 2018 ialah 2.3 juta orang.

“Sekiranya kita beranggapan bahawa 50 peratus daripada kanak-kanak di Malaysia yang berusia 0 hingga 4 tahun memerlukan TASKA, maka negara kita memerlukan 38,333 buah TASKA bagi menampung jumlah kanak-kanak berkenaan.

“Namun, jumlah TASKA berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga Februari 2019 adalah 4,497 buah,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada Persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya di sini, semalam.

Justeru, bagi memastikan keperluan perkhidmatan TASKA mencukupi, beberapa inisiatif dilaksanakan seperti subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan untuk seorang kanak-kanak yang hadir ke TASKA berdaftar dengan JKM bagi keluarga yang layak mengikut pendapatan isi rumah RM800 per kapita di bandar dan RM500 per kapita di luar bandar.

Selain itu, langkah mengaudit keperluan penubuhan TASKA di tempat kerja telah diadakan pada tahun 2018 bagi mengenal pasti bilangan agensi kerajaan khususnya yang belum mempunyai TASKA.

Sementara itu, Hannah berkata kerajaan tidak berhasrat mewajibkan kursus pra-perkahwinan ke atas pasangan bukan Islam yang ingin berkahwin.

Hannah berkata keputusan itu dibuat selepas satu perbincangan bersama Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara yang diadakan pada 4 Mac lepas.

Sebelum ini terdapat cadangan daripada beberapa pihak supaya pasangan bukan Islam yang hendak mendirikan rumahtangga diwajibkan menghadiri kursus pra-perkahwinan seperti mana pasangan Islam.

Mengulas lanjut Hannah berkata, mesyuarat yang diadakan bersama exco-exco wanita negeri baru-baru ini juga sebulat suara bersetuju agar bakal pengantin bukan Islam digalakkan untuk menyertai kursus SMARTSTART sebagai pra-syarat mendapat insentif perkahwinan daripada negeri.

Bagi cadangan perintah berkurung bagi remaja bawah 18 tahun, Hannah berkata walaupun pelaksanaan perintah berkurung berjaya di negara lain, ia tidak semestinya sesuai dan boleh berjaya di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :