BERITA UTAMASELANGOR

Netizen puji langkah Kerajaan Negeri pelihara Permatang Kuarza

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 APR: Netizen memuji langkah Kerajaan Negeri yang memelihari aset berharga Selangor, Permatang Kuarza Gombak apabila berjaya mengelakkan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di situ.

Rekasi itu dilihat melalui perkongsian laporan berita SelangorKini ‘ECRL: Selangor lega aset berharga negeri selamat’ oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di laman twitter peribadinya.

Pengguna twitter, @KSNAIR berkata, beliau turut bersetuju dengan langkah tegas Kerajaan Negeri itu.

“Saya pernah melawat Empangan Klang pada sekitar 1959 dan masih dalam kerja pembinaan, pada waktu itulah saya melihat kristal kuarza yang begitu cantik di situ.

“Sekarang baharu saya faham betapa berharganya aset Permatang Kuarza Gombak kepada kita semua,” tulisnya di ruangan komen.

Bagi @NazrinIdhamRazali pula berkata, permatang berkenaan adalah warisan buat anak cucu di negeri ini.

Sementara itu bagi @encik_pugajah pula berkata, masih terdapat banyak tapak geologi yang penting dan menarik di Selangor.

“Ia termasuk mata air panas, air terjun, bukit-bukau dan gunung-ganang yang berpotensi untuk dijadikan kawasan geopelancongan. Justeru ia perlu dipulihara supaya proses semulajadi tidak terganggu oleh aktiviti pembangunan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri dilaporkan menarik nafas lega berikutan tindakan Kerajaan Persekutuan melakukan penjajaran semula pembinaan projek ECRL dengan tidak membabitkan Permatang Kuarza Gombak.

 

Amirudin berkata, beliau menarik nafas lega apabila Kerajaan Persekutuan mendengar bantahan berkenaan sekali gus menyelamatkan aset berharga negeri ini.

Katanya, oleh kerana itulah Kerajaan Negeri kembali menyokong pembinaan terbabit yang mana sebelum ini dibantah keras Selangor.

Pada Julai tahun lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan Kerajaan Selangor membantah keras penyiapan landasan rel yang membabitkan Gombak ke Pelabuhan Klang.

Bantahan itu adalah berdasarkan prinsip permohonan Kerajaan Selangor untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16km, yang merupakan permatang kuarza yang terpanjang di dunia.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng turut memberitahu penyiapan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang itu sudah tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Namun pada 12 April lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan projek ECRL yang tergantung sejak Julai tahun lalu disambung semula dengan pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion bagi fasa pertama dan kedua.

Selain itu, kenyataan itu juga menyebut pengurangan kos asal dari RM65.5 bilion kepada RM44 bilion berjaya dikurangkan setelah Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sepakat memeterai satu perjanjian tambahan.

Difahamkan, wakil khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin yang mengetuai rundingan dilapor berkata, pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu – Mentakab – Jelebu – Kuala Kelawang-Bangi/Kajang – Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :