SELANGOR

Netizen seronok MB sarapan dengan rakyat

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LANGAT, 12 APR: Perkongsian gambar sarapan pagi oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di instagram peribadi miliknya menerima pelbagai komen daripada netizen, terutamanya rakyat Selangor.

Amirudin memuat naik gambar sarapan paginya iaitu Roti Canai Terowong yang dinikmatinya ketika Program Jelajah Maju Bersama di Daerah Kuala Langat, hari ini.

Salah seorang pemilik akaun instagram, @nekmajuwitaku berkata, untunglah Menteri Besar (MB) awal-awal pagi sudah mengunjungi perkampungan kecil.

“Mana hendak cari MB macam ini,” tulisnya.

Gara-gara seronok melihat pemimpin nombor satu Selangor itu menikmati sarapan, ada juga di antara netizen yang mengajak Amirudin mencuba sarapan pagi di tempat mereka.

Kata @ct_saleh, sepatutnya MB ke Kampung Parit Baru Sabak Bernam mencuba sarapan pagi.

“Jom MB ke tempat saya pula,” tulisnya.

“YB, nasi sambal sotong Pekan Banting lagi padu,” tulis @tohbern110.

Amirudin sebelum itu dilaporkan berkunjung ke Firdaus Cafe yang juga gerai popular di Banting apabila roti canai uniknya menjadi tumpuan pelanggan.

Gerai terbabit turut menyediakan pelbagai variasi roti canai, antaranya roti canai paip pecah, raksaksa, mata air, hot, fiedol, mata hari serta rama-rama.

Sebelum itu, Amirudin turut menunaikan solat subuh bersama penduduk di Masjid As-Solihin.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :