NASIONAL

NFCP pacu matlamat Malaysia ke arah 5G

PUTRAJAYA, 19 APR: Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan memacu Malaysia ke arah matlamat melaksanakan teknologi 5G (generasi kelima), menurut penasihat pasukan petugas khas 5G Kebangsaan, Prof Dr Tharek Abd Rahman.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk kerajaan meneruskan pembangunan NFCP, pelan lima tahun bagi meningkatkan liputan jalur lebar dan gentian optik secara keseluruhan.

Dr Tharek yang juga anggota Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, NFCP yang menggabungkan penggunaan gentian optik dan kesalinghubungan tanpa wayar merupakan kaedah berkesan untuk melaksanakan 5G.

“5G merupakan subset NFCP. Gentian optik menyambungkan lokasi, namun pembolehnya adalah 5G,” katanya kepada pemberita di luar forum Siri Unjuran Digital 2019: Membentuk Landskap Digital bersempena Program 5G Malaysia di sini, hari ini.

Antara matlamat utama kewujudan NFCP ialah sasaran mencapai garis dasar 98 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenghuni menjelang 2023, dengan kelajuan jalur lebar minimum pada kadar 30 Mbps supaya 5G dapat dilaksanakan secara efektif di seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman.

Program 5G Malaysia dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai bagaimana teknologi itu memberi kesan kepada kehidupan mereka selain faedah kepada rakyat.

Program berkenaan terbuka kepada orang awam selama dua hari bermula esok.

Pengenalan teknologi 5G adalah sebahagian pemacu NFCP bagi kerajaan dalam menyediakan kesalinghubungan digital yang mampan, komprehensif, berkualiti tinggi dan mampu milik.

SKMM menubuhkan pasukan khas 5G kebangsaan pada November tahun lepas untuk mempromosi pelaksanaan 5G yang dianggotai pihak berkepentingan dan penggiat industri untuk menyemak semula dan mencadangkan strategi yang holistik.

Dr Tharek berkata, kumpulan kerja ini dijangka mengemukakan laporan kepada kerajaan menjelang akhir tahun ini membabitkan spektrum, kawal selia, kegunaan kes dan infrastruktur.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :