‘Nyawa kedua’ untuk pakaian lama | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

‘Nyawa kedua’ untuk pakaian lama

KLANG, 17 APRIL: Pakaian lama bukan sahaja boleh dijual murah atau diberikan kepada golongan memerlukan malah dapat ‘diselamatkan’ dan diberi ‘nyawa kedua’ sekali gus menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar.

Eksekutif Jualan Life Line Clothing Malaysia (LLCM), Zaki Suratman berkata sejak 2013, LLCM mengambil inisiatif mengumpul dan mengitar semula pakaian dan barangan lama yang tidak diperlukan lagi.

Selain mengumpul pakaian, LLCM yang merupakan sebuah syarikat kitar semula tekstil, berusaha ‘menyelamat’ dan memberi ‘nyawa kedua’ kepada pakaian serta barangan lama yang dikumpul untuk diguna semula atau dijual bagi tujuan amal.


“Sesetengah pihak yang mengitar tekstil sekadar mengumpul dan menjual apa yang mereka dapat, dan selebihnya dilupuskan, namun di LLCM, kami membawa barangan terkumpul ke peringkat seterusnya.

“Kami mengubah barang yang dikumpul menjadi sesuatu yang bernilai, boleh dikomersialkan dan berfungsi semula kerana di sini kami mengamalkan dasar sisa sifar iaitu meminimumkan bahan-bahan pelupusan demi kelestarian alam sekitar,” katanya ketika ditemui Bernama.

KURANG KESEDARAN

LLCM mengumpul dan memproses purata antara 50 hingga 60 tan pakaian hasil sumbangan orang ramai menerusi tong kitar semula LLCM setiap minggu.

“Ketika musim puncak iaitu menjelang musim perayaan, kira-kira 70 tan pakaian lama dapat dikumpul kerana ramai yang membuat kerja pembersihan di rumah pada masa itu,” kata Zaki.

Jumlah keseluruhan tong LLCM adalah sebanyak 948 unit yang diletakkan di sekitar Lembah Klang, Bentong (Pahang); Teluk Intan dan Tanjung Malim (Perak) dan Muar, Johor.

“Kami memperluaskan penyediaan tong kitar semula LLCM di kampus universiti dan sekolah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kegiatan amal,” tambah beliau.

Antara yang terlibat adalah Majlis Kanser Nasional (Makna), Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Pertubuhan Kitar Semula Malaysia (Komuniti Lestari RCOMM) bagi penyediaan logistik serta infrastruktur untuk aktiviti kitar semula pakaian lama.

Zaki berkata, kesedaran terhadap penggunaan tong LLCM di seluruh negara masih perlu dipertingkatkan dalam kalangan orang ramai kerana mentaliti mereka masih menganggapnya sebagai lokasi pembuangan sampah dan sisa makanan.

Menurut beliau, ketika proses pengutipan, terdapat barang elektrik yang rosak termasuk pelbagai sampah sarap yang turut dibuang ke dalam tong itu, menyebabkan bau busuk dan mengotorkan pakaian yang terkumpul.

ASING IKUT KATEGORI

Ada juga perbuatan laku musnah di mana tong itu diconteng manakala rodanya dipatahkan, justeru menyebabkan hasil kutipan terburai. Kadangkala, tong terlalu penuh sehingga pakaian dan barangan bertaburan di tepinya.

“Meskipun begitu, kami tetap mengutip kesemua bahan di dalam tong dan kemudian mengasingkannya mengikut kategori kerana matlamat kami adalah mengamalkan pengurusan sisa sifar,” katanya.

“Apabila bahan-bahan kutipan tiba di kilang, kami mengasingkannya terlebih dahulu mengikut kategori iaitu pakaian dan bukan pakaian. Pakaian yang dikumpul bukan sekadar baju dan seluar malah tudung, topi, kasut, beg tangan, tali pinggang, permainan lembut dan banyak lagi,” jelas beliau lalu memberitahu bahawa kilang itu terletak di Pelabuhan Klang.

Barang bukan pakaian seperti peralatan elektrik, perabot dan alat tulis, diasingkan sekali lagi berdasarkan keadaannya iaitu yang elok atau rosak.

Barangan yang rosak akan cuba ‘diselamatkan’, dengan membaiki dan mengubahsuaikannya sebelum dijual kepada pelanggan menerusi Bundle Store.

Memandangkan terdapat terlalu banyak kategori pakaian, iaitu kira-kira 300 jenis, ramai pekerja diperlukan – 320 orang di bahagian am dan 30 di bahagian pengurusan.

KLANG, 17 April — Petugas melakukan proses mengasingkan kasut terpakai kilang bundle di Jalan Sultan Mohamad 6, Bandar Sultan Suleiman, Klang Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.
Dalam usaha mengitar semula pakaian dan barang lama yang sudah tidak diguna, sebuah syarikat kitar semula tekstil, Life Line Clothing Malaysia (LLCM) mengambil inisiatif mengumpulkan pakaian dan barangan terpakai yang diperoleh daripada sumbangan orang ramai sejak tahun 2013.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

PULIHARA ALAM SEKITAR

Tekstil yang masih elok diasingkan mengikut jenis seperti ‘flanelet’ dan ‘mixed cotton’ serta dibungkuskan, yang kemudiannya dilabelkan sebagai ‘kain bersih’.

“Kebiasaannya, kami membungkuskan tekstil dalam bentuk bundel 10 kilogram dan 25 kilogram sebelum dijual semula kepada industri pakaian terpakai atau disumbangkan kepada golongan memerlukan.

“Banyak NGO membeli pakaian terpakai itu untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan, selain ada juga permintaan daripada negara lain seperti Afrika dan India,” tambah beliau.

Tekstil yang tidak boleh digunakan langsung seperti spandeks, poliester, likra, material berzip dan plastik pula dihantar ke kilang kitar semula lain untuk dijadikan bahan bakar industri.

Selain itu pakaian-pakaian yang mudah menyerap air, dijadikan kain lap dan dibekalkan kepada industri-industri perkilangan yang memerlukan.

“Setiap industri memerlukan kain pembersihan, kami menghargai setiap tekstil dan pakaian yang disumbangkan kerana percaya setiap daripadanya sangat berguna untuk golongan tertentu.

“Kami akan memastikan tiada tekstil yang akan dibuang sebagai sampah ke tapak pelupusan bagi memelihara dan memulihara alam sekitar,” katanya.

Misalnya, tambah beliau, pakaian yang rosak akan digunting kepada bahagian-bahagian kecil untuk dijadikan kain lap, seterusnya diasingkan mengikut warna dan dieksport ke luar negara kerana ada permintaan yang hanya mahukan warna putih,” katanya lalu menambah bahawa menerima permintaan yang tinggi daripada kilang cuci kereta di Australia.

KEDAI BUNDEL

Menurut Zaki, pakaian dan barangan terpakai yang ‘dihidupkan’ semula dijual kepada orang ramai menerusi kedai bundel dan jualan gudang secara besar-besaran yang diadakan dua kali setahun.

Kedai bundle itu terletak di sebelah kilang LLCM Jalan Sultan Mohamad 6, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Selangor, dan dibuka pada pukul 10 pagi hingga 8 malam, setiap hari termasuk hari kelepasan am, Sabtu dan Ahad.

LLCM mengalu-alukan apa juga jenis pakaian dan kain tanpa mengira jenama dan keadaan yang tidak diperlukan lagi, untuk dikitar semula.

Beliau berpesan, sesiapa sahaja yang ingin menyumbang pakaian terpakai supaya mengasingkannya mengikut beberapa kategori sebagai contoh pakaian kerja, untuk kegunaan harian atau majlis keramaian dan baju yang tidak diperlukan lagi.

“Anda boleh dermakan pakaian itu ke dalam tong LLCM yang disediakan. Selain mengurangkan penggunaan ruang di dalam almari, sekali gus membantu mereka yang memerlukan,” tambah beliau. –BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next