SELANGOR

OKU terus diperkasa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APR: Jumlah pekerja dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) yang diambil bekerja di Selangor masih rendah iaitu kurang dari satu peratus.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, justeru itu, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan sedang meneliti dan merangka pelan menyeluruh bagi membantu golongan berkenaan memasuki pasaran kerja.

“Kerajaan Negeri sedang merangka pelan menyeluruh bagi membantu golongan OKU, supaya mereka ini dibuka peluang pekerjaan lebih luas dalam pelbagai sektor.

“Ia juga sebahagian usaha Kerajaan Negeri memastikan hak dan peluang sama rata dinikmati OKU dalam mendapatkan akses kepada pekerjaan serta kekal dalam pasaran kerja,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata, golongan OKU dan keluarga mengalami situasi ekonomi lebih sukar berbanding orang tanpa kecacatan.

Katanya, ia membabitkan perjalanan kehidupan seharian, komitmen kewangan lebih tinggi akibat perbelanjaan tambahan dari segi perubatan, rawatan dan terapi serta peralatan sokongan.

“Golongan OKU yang diambil bekerja di Selangor masih rendah oleh itu, banyak usaha yang perlu dilaksanakan.

“Di Selangor Mega Job Fair baru-baru ini, kita membuka lebih 20 syarikat yang menyertai di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang untuk golongan ini merebut peluang pekerjaan,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan hampir 4,000 jawatan di sektor awam kini diisi golongan itu di seluruh negara.

JPA menjelaskan Kerajaan sentiasa komited dalam memperkasakan golongan OKU dalam pekerjaan selaras dengan Pelan Tindakan OKU 2016-2022 untuk meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran terbuka dan menyumbang kepada pembangunan negara.

“Pihak kami yakin bahawa terdapat ruang dan peluang untuk mewujudkan bentuk pekerjaan baharu yang lebih luas dan boleh dicadang serta didukung secara bersama antara sektor awam dan swasta,” katanya.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :