Jaguh trek negara Azizulhasni Awang (dua, kiri) beramah mesra bersama peserta CIMB Cycle Putrajaya di Dataran Putrajaya pada 21 April 2019. -Foto BERNAMA
SUKANKINI

Olimpik 2020: Azizulhasni tumpu kekuatan fizikal

PUTRAJAYA, 21 APRIL: Jaguh basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang yang dalam misi memburu pingat emas pertamanya pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, kini menjalani latihan yang memberi tumpuan kekuatan fizikal, peningkatan otot dan kelajuan.

Berat badannya 70 kilogram (kg) sebelum ini, perlu ditingkatkan kepada 75 kg terutama dalam peningkatan otot bagi menambah kekuatan fizikal serta meningkatkan kelajuan.

“Berat badan saya sudah bertambah tiga kilogram, lagi dua kilogram untuk dicapai. Ini lebih kepada meningkatkan jisim otot. Saya perlu meningkatkan jumlah makanan daripada enam kepada tujuh kali sehari,” katanya.

Azizulhasni, yang juga duta jenama CIMB berkata demikian selepas menamatkan kategori Cabaran VIP (40 kilometer) pada edisi ketiga CIMB Cycle 2019, di Dataran Putrajaya pagi ini.

‘Pocket Rocketman’ itu turut menantikan kejohanan Eropah (Jerman, Ireland, England) pada Jun, sebahagian daripada laluannya ke Olimpik Tokyo 2020.

Mengulas penubuhan Team Azizul, katanya, terdapat tiga pelumba tempatan yang berpotensi, sambil menambah terdapat juga minat dari pelumba Australia, namun perkara itu perlu dibincangkan dengan jurulatih.

CIMB Cycle yang dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disertai 3,700 pelumba amatur dan profesional dari 26 negara.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Aziz.

CIMB Cycle tahun ini disusun untuk menyediakan pelumba dengan pengalaman yang lebih mencabar dari segi jarak dan keadaan laluan.

Acara itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Endurance Ride (160km) dan Challenge Ride (80km).

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kumpulan gembira melihat peningkatan ketara sebanyak 250 peratus dalam penyertaan sejak CIMB Cycle pertama kali diadakan.

“Penyertaan amat menggalakkan pelumba dari 26 negara mencerminkan kualiti CIMB Cycle, yang kini dinanti-nantikan pelumba amatur dan profesional, turut meletakkan Malaysia di peta sukan serantau,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :