NASIONAL

PAKATAN komited lahirkan 200,000 usahawan baharu

DUNGUN, 7 APRIL: Kementerian Pembangunan Usahawan yakin mampu melahirkan 200,000 usahawan baharu dalam tempoh penggal pertama pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Katanya, sasaran itu akan dapat dipenuhi memandangkan terdapat sambutan menggalakkan dan dalam tempoh hampir setahun, 24,000 usahawan baharu telah didaftarkan.

“Setakat ini, semua usahawan baharu itu telah berdaftar dengan agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional), SME Corporation Malaysia dan ada yang mengikuti Program ‘Professional Training And Education For Growing Entrepreneurs’ (Protege) yang dijenamakan semula daripada Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

“Apa yang penting, kita tidak mahu mereka ini bukan sekadar hanya ada syarikat, tetapi mesti benar-benar menjalankan perniagaan untuk digelar usahawan. Agensi kementerian akan memainkan peranan membantu mereka dari segi latihan, modal perniagaan dan bimbingan berterusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Baitun Najihin Sekolah Menengah Sains Dungun di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kemudahan pinjaman dan pembiayaan daripada agensi tersebut banyak membantu usahawan baharu memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Contohnya, program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp menyediakan pembiayaan RM15,000. Begitu juga dengan TEKUN, walaupun pinjaman skim mikro kreditnya agak kecil antara RM5,000 hingga RM10,000 setiap orang.

“Walaupun jumlahnya kecil, ia mencukupi untuk bantu usahawan baharu memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dan dibimbing berterusan hingga berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap jumlah pembiayaan tidak berbayar (NPF) hampir RM500,000 oleh peminjam TEKUN akan dapat dikutip kembali secara berperingkat.

“Kita mohon peminjam-peminjam hutang lapuk ini supaya membayar semula pinjaman mereka, kerana ia adalah dana dalaman yang boleh memberi manfaat kepada peminjam baharu yang lain pula. Usaha mengutipnya sedang berjalan dan ada yang mula membayarnya semula,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :