BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN laksana pelbagai inisiatif umat Islam – Tun M

KUALA LUMPUR, 30 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menjaga kepentingan agama Islam dan umatnya di negara ini.

Justeru beliau menafikan umat Islam terancam di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) dan beranggapan pihak yang mendakwa suara ‘mempertahankan Islam’ sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini kerana mereka ‘pekak’.

“Fasal dia pekak. Kita buat macam-macam untuk orang Islam, untuk Islam tapi dia tak dengar,” katanya kepada pemberita selepas Malam Anugerah dan Majlis Makan Malam Gala Persatuan Pertubuhan Pengurusan Asia (AAMO) ke-20 di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin menerusi kenyataan di laman Facebook beliau bahawa suara ‘mempertahankan Islam’ sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.

Dakwa Mohd Asri, perkara itu menjadikan rakyat makin akur Islam ‘berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat’ bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

– BERNAMA


Pengarang :