PAKATAN tekad terus agenda banteras rasuah – PM | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

PAKATAN tekad terus agenda banteras rasuah – PM

PUTRAJAYA, 30 APR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan meneruskan agenda membanteras rasuah walaupun sokongan terhadap kerajaan dan dirinya sendiri telah merosot.

Beliau turut meminta semua jentera kerajaan menolak rasuah dengan jangan mengambil walaupun “satu sen” atau “hadiah-hadiah” seperti membeli rumah pada harga murah.

“Harap kita berikrar tidak terlibat dengan rasuah kerana berdosa dan ia salah dari segi undang-undang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan di sini hari ini.


Dr Mahathir berkata dalam usaha menghalang perbuatan-perbuatan curang dan yang merosakkan pentadbiran negara, mungkin terdapat pegawai kerajaan yang terlibat dengan rasuah merasa kecewa dengan kerajaan baharu kerana tidak lagi mendapat pendapatan tambahan daripada kegiatan itu.

Menurutnya, mereka yang kecewa itu merasakan seolah-olah kerajaan kleptokrasi dahulu lebih baik daripada kerajaan demokrasi dan sokongan kepada kerajaan PAKATAN dan dirinya merosot setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengambil contoh beberapa negara termasuk Mexico, Pakistan dan Indonesia yang menukar parti memerintah akibat salah guna kuasa, Dr Mahathir berkata usaha membersihkan negara daripada gejala itu perlu diteruskan kerana ia akan menghancurkan negara.

“Segala tugas tak dapat dijalankan dengan baik, kos akan meningkat kerana setiap kos kita belanja perlu tambah kos rasuah, dan sesetengah pihak tidak mendapat perkhidmatan sama sekali kerana rasuah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sebelum ini yang memerintah selama 61 tahun tidak mungkin kalah jika mereka berpegang kepada tugas dan tidak menyalah guna kuasa yang diberikan rakyat.

Pertukaran kerajaan adalah penting kerana rakyat tahu negara dipimpin dengan cara yang tidak baik sehingga dikenali sebagai negara kleptokrasi atau kerajaan penyangak.

“Apakah kita nak kerajaan penyangak atau diganti kerajaan baharu? Apakah kerajaan baharu akan jadi penyangak, mungkin kalau tidak berjaga-jaga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya setakat ini, beliau belum nampak kecenderungan untuk salah guna kuasa dalam kalangan pentadbir.

Sepanjang hampir setahun PAKATAN memerintah, Dr Mahathir berkata beliau mendapati secara umumnya kerajaan tidak menghadapi banyak masalah dalam pentadbiran walaupun terpaksa menggugurkan mereka yang jelas menyeleweng dan melakukan kesalahan.

“Yang lain saya fikir (mereka) sedar pertukaran kerajaan dan kerajaan sekarang berhak menentukan dasar negara,” katanya.

Dr Mahathir berkata, jika rasuah dilihat sebagai haram sama seperti arak, maka pegawai kerajaan pasti tidak akan melakukan perbuatan jijik itu.

– BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next