Selangorkini
SELANGOR

Pangsapuri rentak: Bancian kumpul data akan dibuat

ccsb-ads

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 29 APR: Kerajaan akan menjalankan bancian secara keseluruhan ke atas pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan serius, Jumaat lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin berkata, pihaknya akan meminta Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan bancian itu bagi mengumpul data penduduk.

“Kita akan buat bancian di seluruh pangsapuri khususnya Blok F, dengan tujuan mengenal pasti dan memisahkan antara pemilik rumah dan penyewa di mana data ini penting buat jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pangsapuri Taman Keramat Permai, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, dalam Dasar Pembangunan Negara wujud program pembangunan semula bagi bangunan lama.

“Program itu dilaksanakan kepada bangunan berusia lebih 30 tahun ke atas dan kita beri tumpuan kepada rumah kos rendah yang terletak di tanah bukit, tinggi dan lembab.

“Bagi pangsapuri ini, saya akan bincang dengan Kerajaan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) jika perlu pembangunan semula,” katanya.

Penghuni blok itu kini ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Serbaguna MPAJ AU2.

Seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan terbabit.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :