KUALA LUMPUR, 24 April — Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim (dua, kiri) menyerahkan papan informasi tentang kesedaran Anti Dadah kepada Ketua Polis Putrajaya, Rosly Hassan (kanan) pada majlis penyerahan papan informasi tersebut di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur hari ini. Turut kelihatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Roslan Bek Ahmad (kiri) dan Pengerusi Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia Datuk Zulkifly Ibrahim (dua,kanan). — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Papan informasi anti dadah di sekolah

KUALA LUMPUR, 25 APR: Papan informasi kesedaran anti dadah bakal dipaparkan di sekolah-sekolah sekitar ibu negara bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik pelajar supaya tidak terlibat dengan isu berkaitan gejala jenayah narkotik dan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, papan informasi tersebut dimuatkan dengan visual bertemakan keinsafan dan kesedaran serta gambar pelbagai jenis dadah sintetik, kesan dan akibat penyalahgunaan dadah yang mudah difahami oleh golongan sasaran iaitu pelajar yang berusia 13 hingga 17 tahun.

“Kita harap dengan adanya papan tanda informasi ini, pelajar akan dapat pendidikan awal sekaligus memberi impak positif apabila melihat mesej yang dipaparkan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Papan Informasi Kesedaran Anti Dadah oleh Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM) kepada Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Papan tanda informasi tersebut merupakan kolaborasi dan inisiatif antara Polis KL dengan PJNM dengan mensasarkan golongan pelajar dan peringkat akar umbi dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.

Mazlan berkata, sebanyak 30 papan informasi diagihkan kepada Ketua Polis Daerah di Kuala Lumpur sebelum diserahkan kepada sekolah yang terpilih.

Sementara itu, Pengerusi PJNM Datuk Zulkifly Ibrahim berkata papan informasi yang akan dipasang dan dipamerkan di kawasan strategik dalam sekolah itu secara psikologinya akan menjadi rakaman kekal dalam minda pelajar dan sekali gus menjadi ‘pagar cegahan’ dalam diri mereka.

Menurutnya, PJNM yang ditubuhkan pada 2012 berharap penggunaan papan informasi ini dapat membantu mencegah generasi muda daripada terlibat dengan dadah.

– BERNAMA


Pengarang :