SELANGOR

Isu Aedes: Pasar Awam Banting ditutup tiga hari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 5 APR: Pasar Awam Banting akan ditutup sementara selama tiga hari bermula 8 hingga 10 April ini bagi memberi laluan kerja pembersihan dilakukan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Mohammad Kamal Mohd Ramlan berkata, pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan secara menyeluruh terhadap bangunan pasar berkenaan ekoran isu pembiakan Aedes.

Katanya, terdapat banyak tempat berpotensi dikenal pasti menjadi tempat pembiakan Aedes di sekitar bangunan pasar terbabit.

“Sehubungan itu, kita meminta kepada semua peniaga di pasar berkenaan untuk turut sama menyertai kerja pembersihan ini memandangkan pasar ini juga merupakan punca utama rezeki mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar.

Dalam kenyataan sama, Mohammad Kamal turut meminta peniaga di pasar awam berkenaan supaya membuka semua binaan tambahan, selain membersihkan tapak perniagaan sendiri.

“Laluan tengah pasar hendaklah dikosongkan, semua barangan perniagaan seperti bakul, meja, kerusi, kotak, rak barang, tong ikan dan sebagainya perlu dialihkan serta dikosongkan.

“Sekiranya didapati peniaga tidak mengosongkan petak perniagaan, kita akan mengambil barang-barang itu untuk dilupuskan.

“Kita tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan dan kehilangan barang semasa kerja pembersihan dijalankan,” katanya.


Pengarang :