NASIONAL

Pasaran getah diniaga berhati-hati minggu hadapan

KUALA LUMPUR, 27 APR: Pasaran getah Malaysia dijangka kekal tidak menentu pada minggu hadapan, menjejaki niaga hadapan getah serantau yang lebih lemah, memandangkan pasaran sedang memantau impak daripada data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi global.

Seorang peniaga berkata, untuk minggu yang baru berakhir, pasaran telah dipengaruhi oleh pergerakan ringgit berbanding dolar AS, permintaan yang lebih lemah serta hala tuju komoditi yang kabur.

Pasaran menjangkakan data KDNK AS yang lebih mantap, yang akan mengukuhkan lagi petunjuk sama ada ekonomi akan menjadi lebih kukuh atau sebaliknya.

“Kami juga berpendapat pelabur akan mengekalkan kedudukan mereka lebih awal daripada musim cuti Jepun yang agak panjang mulai 29 April sehingga 6 Mei,” katanya lagi.

Pada asas Jumaat hingga Khamis lepas, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik empat sen kepada 619 sen sekilogram daripada 615 sen sekilogram pada minggu lepas, manakala lateks pukal susut lapan sen kepada 489 sen sekilogram daripada 497 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga penutupan tidak rasmi bagi SMR 20 menokok 2.5 sen kepada 615 sen sekilogram daripada 612.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal pukal susut lima sen kepada 487.00 sen sekilogram berbanding 492 sen sekilogram sebelum ini.

Pasaran ditutup pada Jumaat lepas untuk Good Friday.

– BERNAMA


Pengarang :