GLOBALNASIONAL

PBB kutuk keganasan sasar individu berdasarkan agama, kepercayaan

NEW YORK, 3 APRIL: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menerima pakai satu resolusi yang mengutuk sekeras-kerasnya kekerasan berterusan dan tindakan keganasan yang menyasarkan individu tertentu, termasuk golongan minoriti agama, berdasarkan agama atau kepercayaan, lapor agensi berita China Xinhua.

Berikutan serangan yang dahsyat ke atas dua buah masjid di New Zealand, yang menyaksikan 50 orang maut manakala 50 lagi cedera pada Mac, perhimpunan itu pada Selasa telah mengadakan mesyuarat dan menerima pakai resolusi anti-kebencian bertajuk “Memerangi keganasan dan tindakan kekerasan lain berdasarkan agama atau kepercayaan.”

Perhimpunan itu mengutuk “sekeras-kerasnya” serangan kejam dan bersifat pengecut itu yang menyasarkan umat Islam di Christchurch, serta menzahirkan setinggi-tinggi takziah kepada keluarga dan kerajaan serta rakyat negara berkenaan.

Perhimpunan itu menggesa semua negara agar melindungi dan menggalakkan kebebasan beragama serta menganut sebarang kepercayaan selain memupuk persekitaran toleransi beragama, aman dan saling menghormati di peringkat domestik.

Ketika memperkenal resolusi itu, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu memaklumkan perhimpunan bahawa komuniti antarabangsa “perlu bangkit menentang lingkaran kebencian.”

Menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga penganut Islam yang terkorban di Christchurch dalam serangan pengganas yang jelas dirancang, beliau berkata “Islamophobia dan racisme wujud seiring.”

Draf resolusi yang dicadangkan Turki itu mengisytiharkan bahawa negara anggota “amat cemas dengan semua serangan pengganas di tempat-tempat ibadat yang bermotifkan kebencian terhadap agama, termasuk kebencian antisemitisme dan anti-Islam.”

Craig J. Hawke, wakil tetap New Zealand ke PBB, memaklumkan bahawa selepas serangan yang dahsyat itu, New Zealand kini mengambil tindakan “untuk menghentikan serangan tidak masuk akal sedemikian pada masa depan,” termasuk membuat pengumuman berkaitan “undang-undang kawalan senjata api baharu yang lebih ketat.”

“Semua senjata separa automatik yang digunakan semasa serangan pengganas pada 15 Mac akan diharamkan,” katanya.

“Kerajaan kini menangani peranan platform media sosial dalam insiden ini, dan mengenal pasti langkah yang boleh kita ambil, termasuk di peringkat antarabangsa, dengan rakan kongsi kita,” kata beliau.

“Kecaman terhadap kekerasan dan keganasan kini harus beralih menjadi satu respons secara kolektif. Kita semua mempunyai peranan. New Zealand komited untuk mengubah kekecewaan kami kepada tindakan yang bermakna,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :