BERITA UTAMASELANGOR

PBT lain perlu contohi Kebun Komuniti MBSA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pelaksanaan Kebun Komuniti oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) wajar dijadikan contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, usaha murni itu bukan sahaja menggalakkan komuniti setempat berinteraksi antara satu sama lain tetapi mengoptimumkan penggunaan kawasan terbiar kepada lebih hijau dan mampan.

“Saya kagum melihat usaha ini dan kebun ini juga lebih besar dari tempat lain. Oleh itu, saya menggesa PBT lain supaya mengikuti jejak langkah MBSA ini.

“Jika setiap komuniti ada galakan seperti ini untuk bercucuk tanam, ia bukan hanya boleh dijadikan sebagai hobi, malah mengamalkan pemakanan sihat kerana sayur ini bebas racun serangga berbahaya yang boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Sayur Petik Sendiri Dari Ladang sempena Hari Bumi 2019, di Kebun Komuniti Lapan Timur Fasa 1, Seksyen 8, di sini.

Siti Mariah turut menyarankan inisiatif itu ditambah baik dengan menggunakan kaedah lebih sistematik, pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau berkata, kewujudan Kebun Komuniti itu boleh dijadikan sebagai wadah menyatupadukan penduduk setempat serta tolenrasi antara satu sama lain.

Katanya, usaha itu merupakan hubungan kekeluargaan serta memakmurkan jiran tetangga melalui aktiviti berkebun selain menjaga hasil dan terapi selepas penat seharian bekerja.

“Walaupun berbeza fahaman politik, namun usaha sedemikian menitikberatkan semangat kejiranan, setiakawan dan muhibbah dalam komuniti berbilang bangsa.

“Sayuran ini juga lebih murah dan kompetitif daripada harga pasaran lain, sekali gus boleh mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan keluarga,” katanya.

 


Pengarang :