Pegawai, anggota polis didakwa terbabit kes pemerasan | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Pegawai, anggota polis didakwa terbabit kes pemerasan

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan kes pemerasan membabitkan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, pada Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, pengadu mendakwa ditahan dua individu yang memperkenalkan diri sebagai polis ketika memandu kereta berhampiran UCSI Taman Connaught pada kira-kira 4 petang, Selasa lalu.

“Mereka membuat pemeriksaan dalam kereta pengadu dan menjumpai dadah, namun pengadu menafikan dadah dijumpai miliknya.


“Pengadu juga mendakwa ditumbuk di bahagian muka dan dibawa ke Balai Polis Cheras dan semasa di balai, pengadu diberi pilihan sama ada mengaku dadah dijumpai tersebut merupakan miliknya atau membayar RM5,000 dan akan dibebaskan,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Roslan berkata, pengadu kemudian membayar jumlah wang berkenaan sebelum dibebaskan.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti empat pegawai dan anggota yang disyaki terbabit, dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan (pemerasan) dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera).

Katanya, siasatan diteruskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius dan tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku oleh pegawai atau anggotanya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Lee Chen Shim di talian 016-713 2740, Pegawai Penyiasat ASP Mohd Hafizee Ismail di talian 013-358 7571, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next