BERITA UTAMASELANGOR

Pejabat Kerajaan Selangor juara anugerah inovasi SIRIM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 APR: Pejabat Kerajaan Negeri Selangor dinobatkan juara Anugerah SIRIM ‘Invention, Innovation & Technology Expo’ (Si2TE) 2019 Best of the Best melalui projek inovasi ‘Overflow Tripping System’ (OTS).

Projek yang diketuai Norhisham Mamat @ Zakaria itu berjaya membangunkan sistem keselamatan tambahan pada sistem tangki air domestik dan pencegah kebakaran, bagi mengelakkan limpahan air.

Anugerah disampaikan EXCO Negeri Kedah, Ooi Tze Min bertempat di SIRIM Kulim, baru-baru ini.

Naib Presiden Penyelidikan Perindustrian SIRIM, Ir Dr Mohamad Jamil Sulaiman berkata, anugerah itu diwujudkan bagi membudayakan penyelidikan dan inovasi dalam kalangan masyarakat yang memberi fokus Revolusi Industri 4.0.

Katanya, ia juga pertandingan yang mengetengahkan hasil penyelidikan dan produk yang telah dibangunkan oleh penyelidik Malaysia.

“Pada masa sama ia melibatkan peserta dalam kalangan penyelidik, ahli akademik dan industri, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah rendah, menengah dari dalam dan luar negara serta usahawan kecil dan sederhana.

“Kami menerima 81 penyertaan berbanding 250 penyertaan pada 2018,” katanya dalam kenyataan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 39 penyertaan daripada sekolah rendah, 193 sekolah menengah dan 139 agensi kerajaan.

Antar lain ialah institusi pengajian tinggi, kolej komuniti, kolej kemahiran tinggi, institut kemahiran belia dan kolej matrikulasi dari seluruh negara.

Program selama tiga hari itu turut disertai Pusat Nanoteknologi Kebangsaan, Pusat Sains Negara, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Pusat Penyelidikan Perindustrian Bioteknologi SIRIM dan Prosteam Innovation Academy.


Pengarang :