NASIONAL

Pelaburan China dijangka lebih banyak sepanjang ECRL – Loke

BEIJING, 26 APR: Malaysia boleh menjangkakan lebih banyak pelaburan dari China, khususnya bagi koridor sepanjang Laluan Rel Pantai Pantai Timur (ECRL), susulan perjanjian yang dimeterai semalam antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Semasa bercakap kepada media Malaysia di sini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perjanjian yang ditandatangani semalam adalah mengenai pembangunan koridor sepanjang ECRL.

“Perjanjian mengenai ECRL sudah dimuktamadkan. Perjanjian semalam adalah mengenai pembangunan koridor di sepanjang ECRL,” katanya.

Beliau berkata perjanjian berkenaan akan mengorak laluan bagi lebih banyak pelaburan China di Malaysia.

Loke berkata, Malaysia mahu memaksimumkan pembangunan seiring dengan pelaksanaan projek ECRL bernilai RM44 bilion itu.

Beliau kini berada di sini sebagai sebahagian delegasi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Forum Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa kali kedua yang dirasmikan Presiden China, Xi Jinping hari ini.

Perjanjian antara MIDA dan CCCC itu ditandatangani selepas mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China dimuktamadkan di sini, semalam.

Dr Mahathir dan rakan sejawatannya, Li Keqiang, menyaksikan pemeteraian perjanjian itu bertajuk “Enhancing Cooperation in the Development of Industrial Parks, Infrastructure, Logistics Hub and Transit Oriented Development Pursuant to the ECRL Project” (Mempertingkat Kerjasama dalam Pembangunan Kawasan Perindustrian, Infrastruktur, Hab Logistik dan Transit Berorientasikan Pembangunan di bawah Projek ECRL).

Selepas berbulan mengadakan rundingan semula, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan CCCC baru-baru ini menandatangani perjanjian bagi menyambung semula projek ECRL yang dihentikan sebelum ini untuk menghubungkan negeri-negeri pantai timur di Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua pihak juga menandatangani perjanjian tambahan mengenai pengurangan kos projek itu daripada RM65.5 bilion kepada RM44 bilion, sekali gus mendorong penjimatan sebanyak RM21 bilion.

– BERNAMA


Pengarang :