BERITA UTAMANASIONAL

Pelan pemulihan FELDA perlu sokongan padu peneroka

KUALA LUMPUR, 17 APRIL: Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) digesa untuk bersama menjayakan misi mengembalikan kegemilangan agensi itu dengan melaksanakan program mengikut fungsi asalnya seperti ketika ditubuhkan dahulu.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin berkata, kerajaan merangka pelan pemulihan untuk mencapai matlamat itu dengan memperuntukkan RM6.23 bilion bagi menjamin kebajikan peneroka dan menjadikan FELDA sebagai institusi yang hebat.

“Antara isu utama, model yang ada sekarang ini iaitu apabila ladang itu diusahakan dalam skala kecil, tiada satu skala ekonomi untuk membolehkan semua peneroka mendapat manfaat.

“Jadi, kita perlu tukar model perniagaan dengan melaksanakan kegiatan ekonomi berskala besar melalui kos lebih rendah tetapi dengan pulangan lebih tinggi,” katanya dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Radzi berkata, ia bukan satu usaha yang mudah kerana ketika kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14, FELDA berada dalam keadaan amat kritikal.

Katanya, FELDA mempunyai simpanan tunai sebanyak RM35 juta sahaja daripada berbilion ringgit yang pernah dimilikinya dan jumlah itu belum termasuk liabiliti, iaitu hutang yang perlu dibayar.

Katanya, dari tempoh Mei 2018 sehingga setakat ini, kerajaan menyediakan peruntukan khas kepada FELDA sebanyak RM577 juta, namun liabiliti yang perlu ditanggung dan bayaran yang perlu dibuat adalah tinggi.

Sementara itu, berkenaan peranan generasi baharu FELDA, Radzi berkata, mereka perlu memainkan peranan penting dalam memartabatkan agensi terbabit dan menjadikan kawasan FELDA sebagai satu pusat ekonomi.

Justeru, katanya, kerajaan memutuskan untuk menyiapkan projek rumah bagi generasi baharu yang terbengkalai sejak 2016 dengan memperuntukkan RM250 juta bagi menyelesaikan 30 peratus lagi pembinaannya.

“FELDA akan buat dalam masa terdekat dan siapkan sasarannya dalam tahun ini supaya kira-kira 5,000 generasi baharu mendapat manfaat hasil dan dapat masuk ke unit rumah secepat mungkin,” katanya.

Pada 10 April lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)” di Dewan Rakyat yang menjelaskan isu dihadapi agensi itu serta pelan pemulihan bagi mengembalikan keyakinan rakyat juga memastikan peneroka terus dibela. -BERNAMA


Pengarang :