Pelbagaikan tanah FELDA demi kelangsungan hidup peneroka | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Pelbagaikan tanah FELDA demi kelangsungan hidup peneroka

KUALA LUMPUR, 24 APRIL: Kelapa sawit dan getah menjadi tanaman utama di 317 tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejak penubuhannya 61 tahun lepas.

Namun, harga dua komoditi itu yang ditanam di kawasan berkeluasan 490, 000 hektar di seluruh negara sentiasa tidak menentu menyebabkan timbulnya pelbagai cabaran bagi kerajaan, Felda dan peneroka.

Selain harga pasaran yang kini rendah, kempen antiminyak sawit yang giat dilakukan di negara-negara barat turut memberi kesan kepada kebolehpasaran produk itu.


Akibatnya, seramai 112, 635 peneroka dan keluarga mereka dihimpit kebimbangan dan kesukaran meneruskan kehidupan dengan selesa walaupun setiap peneroka menerima pinjaman Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil sebanyak RM1,500 sebulan daripada Felda.

Dalam usaha mengatasi kemelut yang menyelubungi Felda, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)’ di Parlimen pada 10 April lepas.

Bagi membuktikan komitmen dan tekad kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan Felda dan membawanya ke tahap lebih baik, kerajaan sedia menyuntik dana sebanyak RM6.23 bilion untuk lembaga itu yang akan disalurkan dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat.

Kerajaan juga bersetuju menghapuskan kadar faedah pinjaman Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka menerusi suntikan dana berjumlah RM2 bilion.

Pendapatan alternatif

Pengerusi Biro Pertanian dan Asas Tani Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Kebangsaan Datuk Muhamad Asri Haris berkata pendapatan peneroka paling teruk terjejas ketika proses penanaman semula.

Pada masa itu, semua pokok perlu ditebang kerana sudah mencapai usia tua dan penanaman semula pula mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum peneroka boleh mula menuai hasil.

“Bagi peneroka yang tidak mempunyai sumber pendapatan alternatif, mereka terpaksa bergantung kepada Bayaran Sara Hidup, yang merupakan pinjaman pihak Felda kepada peneroka.

“Sebab itulah peneroka digalakkan menceburi bidang pertanian dan ternakan agar mereka tidak lagi perlu meminjam (daripada Felda),” katanya.

Menurutnya beberapa tanah rancangan mula menjalankan aktiviti tanaman dan ternakan alternatif di bawah kelolaan KAF termasuk menanam nanas MD2, buah tin, menternak lembu daging dan arnab.

Di Felda Lenga dekat Muar di Johor, seramai 120 peneroka bersama-sama mengusahakan tanah seluas 162 hektar (400 ekar) untuk penanaman nanas bagi pasaran tempatan dan eksport ke Timur Tengah. Setiap ekar tanah ditanam dengan 14,500 pokok nanas.

Sementara itu, seramai 50 peneroka dari Felda Behrang, Felda Soeharto, Felda Sungai Tengi, Felda Laka Selatan di Perak dan Felda Aping Barat di Johor kini mengusahakan ternakan arnab.

Bagi penternakan lembu pula, seramai 10 peneroka dari Felda Semencu (Johor), Felda Lok Heng (Johor), Felda Chemomoi (Pahang) dan Felda Ciku 1 (Kelantan) menternak kira-kira 300 ekor lembu dalam kawasan seluas 158 hektar.

Muhamad Asri juga menyambut baik gerak kerja untuk menjana pendapatan baharu melalui diversifikasi tanaman serta mengenal pasti program tanaman gantian dan ternakan yang mampu memberi hasil tuaian dalam tempoh singkat seperti yang dinyatakan dalam dokumen Kertas Putih Felda.

“Ini mampu dilaksanakan…langkah ini diambil demi memberi kebaikan kepada peneroka agar tidak bergantung sumber pendapatan dengan Felda semata-mata,” katanya.

Tanaman kontan, ternakan

Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi pula berpendapat kawasan Felda sememangnya berpotensi besar untuk dibangunkan dengan aktiviti tanaman dan ternakan sampingan.

Beliau berkata aktiviti tanaman atau ternakan sampingan boleh disesuaikan mengikut lokasi dan usia sesebuah ladang.

“Ladang yang berusia lebih daripada 5 tahun sesuai digunakan untuk aktiviti ternakan lembu dan kambing kerana pohon sawit sudah besar dan pelepah antara pokok yang mudah bercantum memberi suasana redup pada permukaan tanah,” jelasnya.

Menurutnya hasil ternakan itu juga mudah dipasarkan khususnya semasa musim korban Aidliladha.

Bagi ladang yang baru ditanam semula, Abdul Shukor berkata tembikai, pisang dan betik adalah antara tanaman yang sesuai diusahakan.

“Tanaman boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama adalah tanaman biasa dan kedua, ia adalah tanaman bernilai tinggi seperti vanila, nanas MD2 dan rock melon,”katanya.

Sokongan FELDA

Abdul Shukor berkata Felda perlu memainkan dua peranan penting iaitu menyusun strategi cara guna tanah peneroka bagi tujuan tanaman dan ternakan selain membantu memasarkan produk keluaran peneroka.

Felda juga boleh menjadikan tanaman lain yang berpotensi besar sebagai antara sumber utama selain kelapa sawit dan getah.

“Pokok kelapa boleh dijadikan pilihan jika ditanam di kawasan yang sesuai,” katanya.

Beliau turut menawarkan kepakaran tenaga penyelidik dan pakar dari UPM untuk memberi khidmat nasihat kepada Felda dalam menjayakan hasrat ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) Datuk Salahuddin Ayub baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk melaksanakan projek tanaman kontan dalam usaha memulihkan masalah kewangan Felda bernilai RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

MoA akan menggunakan kepakaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) bagi menjayakan tanaman kontan itu yang melibatkan beberapa buah-buahan dan sayur-sayuran.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

Berita Terdahulu

Bela kuda, terapi minda

BERITA BERKAITAN

Prev
Next