GLOBALSUKANKINI

Pele semakin sihat

RIO DE JANEIRO, 6 APRIL: Legenda bola sepak Brazil, Pele mengucapkan terima kasih kepada peminatnya atas sokongan mereka selepas beliau pulih daripada jangkitan salur kencing, lapor agensi berita China Xinhua.

Legenda berusia 78 tahun itu dimasukkan ke sebuah hospital di Perancis, pada Selasa selepas menghadiri satu majlis dengan pemain posisi penyerang Kelab Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe.

“Terima kasih atas semua kasih sayang anda! Antibiotik yang diberikan berkesan dan ujian semuanya menghasilkan keputusan yang baik.

“Saya berasa lebih sihat, saya raa saya sudah sedia untuk bermain semula,” katanya melalui Twitter.

Pele masih berada di hospital, namun media tempatan melaporkan bahawa bekas pemain penyerang Kelab Santos itu membuat persediaan untuk kembali ke Brazil bagi menjalani rawatan lanjut di Hospital Albert Einsteinl.

Satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali dan menjaringkan 1,281 gol sepanjang kerjanya dalam 1,363 perlawanan, Pele dianggap sebagai pemain bola sepak terbaik dalam sejarah oleh ramai orang.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau berdepan pelbagai isu kesihatan.

Selain berdepan sakit pinggang dan komplikasi akibat pembedahan penggantian sendi pinggul, Pele dimasukkan ke hospital beberapa kali selepas mengalami masalah prostat dan buah pinggang. –BERNAMA


Pengarang :