SELANGOR

Peluang penjawat awam miliki kondominium di tengah KL

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 23 APR: Penjawat awam kini mampu memiliki kediaman kondominium di tengah bandar metropolitan Kuala Lumpur, dengan lebih mudah.

Peluang itu bakal dinikmati melalui hasil kerjasama di antara syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), DatumCorp International Sdn Bhd (Datum Corp) dan MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif pemilikan rumah itu dikenali sebagai Rent to Own (RTO) yang menawarkan 379 unit kediaman di Datum Jelatek.

Katanya, kaedah sewa milik selama lima hingga 10 tahun itu akan dibuka kepada penjawat awam yang gagal mendapat kelulusan pinjaman institusi kewangan bagi memiliki hartanah di Kuala Lumpur.

“Menerusi inisiatif ini, ianya membolehkan penjawat awam ditawar membeli kediaman Datum Jelatek yang disewa selepas akhir tahun kelima atau ke-10 pada harga yang ditetapkan kelak.

“Inisiatif menarik ini ternyata dapat membantu mempertingkatkan pemilikan hartanah berkualiti dalam kalangan penjawat awam di kota metropolis Kuala Lumpur.

“Dan apa sahaja yang bersifat peduli rakyat sudah semestinya dekat di hati saya dan pimpinan kerajaan,” katanya ketika berucap menyaksikan Majlis Menandatangani Rakan Perniagaan Datum Jelatek di Datum Galleria, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Datum Corp, Norita Mohd Sidek; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Dato’ Abdul Fattah Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Dato’ Abd Hamid Hussain dan Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.

Amirudin berkata, usaha PKNS melalui Datum Corp itu jelas menunjukkan keseiringan dan kebersamaan dengan Kerajaan Negeri dalam melestarikan pembangunan mampan.

Katanya, pemilikan kediaman Datum Jelatek dan penyewaan kompleks membeli belah di situ juga sebagai langkah merancakkan lagi ekonomi negeri sekali gus memperkasakan kedudukan fiskal yang diaspirasikan Smart Selangor.

“Saya seringkali mewar-warkan sesungguhnya pembangunan dan kemajuan Selangor harus digembeleng bersama semua pihak tanpa mengenepikan rakyat menerusi agenda ‘Maju Bersama’.

“Maka, apabila bergerak seiring, kita harus bermuafakat ke arah membangunkan negeri untuk mencapai lebih kemajuan tanpa meminggirkan sekelumit rakyat sekalipun,” katanya.

Terdahulu, pembinaan Datum Jelatek yang terletak kira-kira lima kilometer dari KLCC itu turut bersambung dengan kemudahan pengangkutan awam utama iaitu Stesen LRT Jelatek.

Pembangunan yang turut merangkumi komponen antara pusat membeli-belah dan kediaman setinggi 41 tingkat itu dijangka siap awal suku tahun 2020.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

 

 


Pengarang :