BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pemaju lebuh raya didenda RM25,000 kes banjir lumpur

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 APR: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengenakan kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemaju projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) susulan kejadian banjir lumpur di Taman Sierra Ukay, Ukay Perdana, Ahad lalu.

Notis kompaun dikeluarkan pada 1 April berdasarkan Seksyen 70A(9), Akta Jalan Dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk dan menyebabkan banjir lumpur.

Tindakan itu dinyatakan dalam laporan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang disahkan oleh Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ, Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi, semalam.

Dalam dokumen enam halaman itu, yang dilihat SelangorKini, MPAJ mengesyorkan kerja pembangunan dihentikan bagi pelaksanaan kerja metigasi di tapak binaan.

Menurut siasatan PBT itu, banjir lumpur berpunca daripada kegagalan pemaju “mengawal atau menyelenggara kolam tadahan dan longkang dengan sempurna yang menyebabkan aliran air berlumpur melimpah keluar.”

“Hasil semakan di tapak juga mendapati kolam tadahan dan longkang tanah yang dibina kontraktor terlalu kecil dan cetek serta tidak mampu untuk menanggung taburan hujan yang tinggi…,” laporan itu dipetik.

Susulan itu, laporan berkenaan berkata, air yang bercampur lumpur melimpah ke kawasan rumah yang berhampiran di beberapa batang jalan di taman perumahan berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, kawasan paling teruk terjejas adalah Jalan Siera Ukay 6.

Dalam kejadian 31 Mac lalu, hampir 13 buah rumah terjejas akibat banjir lumpur akibat taburan hujan yang lebat selama tiga jam dari jam 6 petang.

Bagi tindakan jangka masa panjang, MPAJ meminta reka bentuk perancangan kawalan hakisan sedimen (ESCP) disemak semula oleh perunding alam sekitar bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Selain itu, kaedah kerja di tapak pembinaan terutamanya kerja tanah akan dikaji dan diperincikan semula.

“(Pemaju) memaklumkan sebarang perubahan reka bentuk dan kaedah kerja kepada pihak berkuasa dan juga penduduk bagi penyampaian maklumat yang tepat.

“Mengadakan taklimat kepada penduduk secara berkala untuk menerangkan kemajuan projek serta aktiviti pembinaan yang dijalankan di kawasan sekitar.

“Mengemukakan laporan ringkas berkaitan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar di tapak kerja secara berkala kepada persatuan penduduk,” kata MPAJ dalam laporan itu.

 


Pengarang :