NASIONAL

Pemberian subsidi petrol terus ke akaun

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka akan menggunakan mekanisme pemberian tunai terus ke dalam akaun bagi penyaluran subsidi petrol secara bersasar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya cenderung menggunakan data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebagai individu layak menerima subsidi.

Katanya, ketika ini, kementerian masih menunggu sekretariat BSH memberikan data terkini kepada pihaknya.

“Saya difahamkan mereka dalam fasa terakhir pemprosesan dataterkini penerima BSH. Ia sedikit lewat kerana kami mahu pastikan data itu tepat.

“Bagaimanapun, di peringkat kementerian, kami sudah bersiap sedia dalam hal ini,” katanya pada Majlis Dialog bersama Media, di kementeriannya, di sini.

Saifuddin berkata, mekanisme berkenaan dipilih ekoran melihat kepada bayaran BSH yang dilakukan secara terus ke dalam akaun.

Malah, katanya, 90 peratus pembayaran BSH menggunakan akaun bank manakala hanya 10 peratus penerima tidak menggunakan akaun bank disebabkan berada di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, kami sudah berunding dengan pihak perbankan untuk membantu penerima BSH ini membuka akaun.

“Pemberian subsidi minyak ini hanya boleh dibuat 100 peratus jika penerima mempunyai akaun bank.

“Justeru, segala persiapan sudah dibuat, jika ini kaedah paling baik maka kita akan dapatkan persetujuan di peringkat jemaah menteri,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, jika pemberian subsidi bersasar itu berjaya dilaksanakan, pihaknya akan memperkembangkan ke barangan lain termasuk makanan.

“Jika berjaya, hasrat untuk memperkembangkan ke barangan lain seperti minyak masak, tepung, gas LPG dan sebagainya sekali gus, kepada golongan M40 juga,” katanya.

Menerusi Belanjawan Negara 2019, pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.


Pengarang :