PEMILU 2019: Jokowi di depan, kira undi selesai 22 Mei | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

PEMILU 2019: Jokowi di depan, kira undi selesai 22 Mei

JAKARTA, 20 APRIL: Proses pengiraan undi pilihan raya umum Indonesia (PEMILU 2019) dijangka selesai 22 Mei, sebelum Komisi Pemilihan Umum (KPU) mengumumkan Presiden Indonesia untuk penggal 2019-2024.

Berdasarkan pengiraan undi setakat 10.30 pagi ini, pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Ma’aruf Amin mendahului pasangan Prabowo Subianto dan Sandiaga Uno.

Pengiraan undi KPU menunjukkan Presiden Jokowi, 57, dan pasangannya untuk naib presiden, Ma’aruf, 76, mendahului dengan 54.89 peratus, hasil daripada 37,787 Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat pengundian, daripada keseluruhan 813,350 TPS.


Proses pengiraan boleh diikuti menerusi laman rasmi KPU iaitu di https:///infopemilu.kpu.go.id.

Berdasarkan hitung cepat atau quick count oleh 40 badan survei bebas yang berdaftar dengan KPU, regu Jokowi-Ma’aruf menang dengan peratusan 54 hingga 56 peratus.

Namun, Prabowo, 67, menolak hasil hitung cepat itu, sebaliknya mengisytiharkan kemenangannya berdasarkan hitung cepat yang dilakukan pihaknya.

Pemerhati dan penganalisis politik melihat Prabowo tidak konsisten dengan sikap dan penerimaannya terhadap quick count badan-badan survei bebas itu yang berdasarkan kepada quick count Pilihan Raya Gabenor Jakarta pada 2017, memenangkan gabungan Anis Baswedan dan Sandiaga Uno daripada Parti Gerindra iaitu parti Prabowo, mengatasi pasangan Basuki Tjahaja Purnama (Ahok)-Djarot Saiful Hidayat.

“Prabowo menerima hasil quick account itu (Pilihan Raya Gabenor Jakarta 2017) dan kami juga langsung menerima,” kata jurucakap Tim Kempen Jokowi-Ma’aruf, Arya Sinulingga.

Penganalisis politik melihat tindakan Prabowo melakukan sujud syukur selepas mengisytiharkan kemenangannya itu seperti mengulangi tindakannya pada 2014,yang turut mengisytiharkan kemenangannya sebelum pengumuman KPU.

“Percaya tak lembaga (badan) survei itu? Pembohong! rakyat tidak percaya sama kalian, mungkin kalian boleh pindah ke Antartika, bisa (boleh) berbohong kepada penguin di Antartika,” Prabowo dipetik berkata ketika berucap kepada penyokongnya di kediamannya di Kebayoran Baru, Jakarta Selatan.

Berdasarkan hitung cepat oleh badan bebas itu, antaranya Penelitian dan Pengembangan (Litbang) KOMPAS, Indo Barometer, Charta Politika Indonesia, Poltraking Indonesia dan Indikator Politik Indonesia, pasangan Jokowi-Ma’ruf memperoleh peratusan undi antara 54 hingga 56 peratus, manakala pasangan Prabowo-Sandiaga meraih antara 44 hingga 46 peratus.

Berdasarkan Pilihan Raya Indonesia 2014, hasil hitung cepat yang dilakukan badan bebas ini ternyata hampir 99 peratus tepat.

Jokowi, 57, pula dilihat mengambil pendekatan yang lebih tenang dengan tidak mahu merayakan hasil hitung cepat itu dan meminta seluruh rakyat Indonesia supaya menunggu keputusan rasmi daripada KPU.

Pada 17 April lalu, sebanyak 77.5 peratus daripada 192,828,520 pengundi yang layak, mengundi pada PEMILU 2019. – BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next